JENAYAH & MAHKAMAH

Dokumen Tambahan Najib: Rayuan Semakan Kehakiman Di Mahkamah Persekutuan 24 Mac 

25/02/2025 07:24 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini menetapkan 24 Mac sebagai tarikh pendengaran permohonan kebenaran merayu yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dokumen tambahan dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi memaklumkan tarikh tersebut ditetapkan semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Wan Fatimah Zaharah Wan Yusoff yang dijalankan secara dalam talian.

“Kedua-dua pihak perlu memfailkan hujahan bertulis selewat-lewatnya pada 10 Mac dan pengurusan kes selanjutnya akan berlangsung pada 11 Mac,” katanya ketika dihubungi pemberita.

AGC telah memfailkan notis rayuan pada 4 Feb lepas.

Pada 6 Jan lepas, dalam keputusan majoriti 2-1, Mahkamah Rayuan mengembalikan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran berhubung meritnya, setelah membenarkan rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman.

Najib, 71, memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden memberi jawapan serta mengesahkan kewujudan dokumen tambahan bertarikh 29 Januari tahun lepas.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut memohon perintah agar sekiranya dokumen tambahan tersebut wujud, semua responden atau mana-mana seorang daripada mereka melaksanakannya serta-merta, termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Pada 3 Julai tahun lepas, Hakim Datuk Amarjeet Singh yang menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman memutuskan bahawa empat afidavit yang dikemukakan bagi menyokong dakwaan Najib, termasuk kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dianggap sebagai khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai bukti di mahkamah.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib. 

Lembaga Pengampunan bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396461