EKONOMI

Brunei Berminat Teroka Kerjasama Dengan Sarawak Dalam Inisiatif Tenaga Bersih

25/02/2025 05:42 PM

KUCHING, 25 Feb (Bernama) -- Brunei berhasrat untuk meneroka peluang kerjasama baharu dengan Sarawak bagi memajukan inisiatif tenaga bersih.

Hasrat tersebut disuarakan Timbalan Menteri Tenaga Brunei, Datuk Seri Awang Mohamad Azmi Mohd Hanifah semasa kunjungan hormat kepada Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, di sini hari ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat Hazland, kunjungan tersebut bertujuan untuk merapatkan hubungan antara Brunei dan Sarawak dalam kerjasama tenaga dan kelestarian alam sekitar, yang menekankan kepentingan kolaborasi untuk mencapai keselamatan tenaga serantau dan pertumbuhan mampan.

“Kedua-dua pihak optimis untuk potensi kerjasama yang akan menyumbang kepada matlamat kelestarian jangka panjang rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Satu dialog lanjut juga akan diadakan untuk meningkatkan hubungan Brunei-Sarawak dengan berkongsi cabaran dan peluang dalam sektor tenaga dan alam sekitar, katanya.

Semasa pertemuan tersebut, Hazland berkata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjadi penggerak utama dan pemudah cara dalam peralihan tenaga baharu negeri itu dengan meletakkan rangka kerja empat tonggak yang komprehensif bagi memastikan pelaksanaan dan pembangunan yang lancar ke arah sifar pelepasan bersih menjelang 2030.

Beliau berkata Sarawak menyambut peluang untuk kerjasama yang lebih mendalam, terutamanya dalam bidang yang telah mencapai kemajuan ketara dalam teknologi hijau dan pemuliharaan alam sekitar.

Delegasi Brunei juga dibawa melawat projek-projek infrastruktur tenaga utama di Sarawak untuk mendapatkan gambaran mengenai kemajuan negeri itu dalam membangunkan penyelesaian tenaga bersih.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396356