NILAI, 25 Feb (Bernama) -- Pelumba basikal trek yang semakin meningkat naik Sawda Hasbullah terus melakar sejarah tersendiri apabila meraih emas peribadi keduanya dengan mengungguli acara pecut remaja wanita pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 di Velodrom Nasional di sini hari ini.
Sawda memastikan emas miliknya selepas menewaskan pelumba Korea Selatan, Park Hye Rin dengan keputusan 2-0 di pentas final.
Ahad lepas Sawda mencipta sensasi apabila memecahkan rekod remaja wanita Asia yang juga rekod dunia dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa, sekali gus menghadiahkan emas pertama buat skuad berbasikal trek remaja negara di ATC 2025.
"Saya terlepas peluang meraih emas dalam acara pecut berpasukan dan keirin, jadi saya berusaha sebaik mungkin dalam acara pecut hari ini.
"Apa pun, saya sangat berpuas hati dengan penampilan saya di ATC," katanya, yang turut meraih pingat perak menerusi acara pecut berpasukan wanita.
Pencapaian di ATC kali ini menjadikan Sawda atlet wanita pertama dalam kategori remaja yang berjaya menghadiahkan pingat buat Malaysia sepanjang penyertaan dalam kejohanan kompetitif itu.
-- BERNAMA