AM

Menteri Luar Mohamad Hasan Tiba Di Tehran Untuk Lawatan Rasmi Ke Iran

25/02/2025 11:58 PM

Daripada Muhammad Faiz Baharin

TEHRAN, 25 Feb (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan tiba di ibu negara Iran pada Selasa, untuk menghadiri Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Iran yang ke-8 (JCM) yang dijadualkan berlangsung pada Rabu.

Pesawat yang membawa Mohamad mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini pada pukul 4.44 petang (9.14 malam waktu Malaysia).

Ketibaan beliau di lapangan terbang disambut oleh Duta Malaysia ke Iran Khairi Omar, dan Ketua Pengarah Asia dan Oceania dari Kementerian Luar Iran, Ali Asghar Mohammadi.

Pada Rabu, Mohamad akan mempengerusikan bersama Mesyuarat JCM ke-8, Malaysia dan Iran dengan rakan sejawatannya dari Iran, Seyyed Abbas Araghchi di pejabatnya, di sini.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa mesyuarat itu akan membincangkan skop dan butiran mengenai bidang kerjasama strategik antara kedua-dua negara, merangkumi pelbagai sektor.

“Ia meliputi politik, pertahanan, keselamatan, perdagangan dan pelaburan, perbankan dan kewangan, pertanian, penghubungan, tenaga, pelancongan dan kebudayaan, sains dan teknologi, isu wanita dan keluarga, pendidikan, serta industri halal,” menurut kenyataan tersebut.

Sepanjang lawatan ini, Mohamad juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Iran Dr. Masoud Pezeshkian, dan perbincangan mereka akan memfokuskan hubungan dua hala Malaysia-Iran, serta isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, terutamanya mengenai situasi di Palestin dan hal-hal Timur Tengah yang lebih luas.

Pada 2024, Iran merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di rantau Asia Barat, dengan jumlah dagangan bernilai RM2.6 bilion (USD0.57 bilion), meningkat sebanyak 24.6 peratus berbanding 2023.

Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Iran dalam kalangan negara-negara ASEAN dan rakan dagang terbesar ke-19 di dunia pada 2023.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396555