Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol
PUTRAJAYA, 26 Feb (Bernama) -- Pusat Simulasi Bencana pertama negara yang dibangunkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bakal merevolusikan latihan pasukan penyelamat melalui pelbagai senario kesukaran yang realistik.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) NADMA Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar berkata pusat itu direka khas untuk meningkatkan kecekapan pasukan penyelamat, khususnya Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dalam menangani pelbagai situasi bencana yang mungkin mereka hadapi.
Beliau berkata fasiliti yang dibangunkan dengan kos keseluruhan RM54 juta itu merangkumi modul simulasi menyelamat seperti kemalangan membabitkan kereta kabel, kereta api bawah tanah, bangunan runtuh serta insiden di kawasan yang terdapat bahan-bahan berbahaya,
"Pusat ini juga dilengkapi pelbagai teknologi canggih, termasuk realiti maya dan realiti tambahan, bagi memberikan pengalaman latihan yang lebih mendalam kepada pasukan penyelamat.
"Dari segi simulasi, pusat ini mampu mereplikasi hampir 90 peratus secara tepat, keadaan kesukaran sebenar yang para penyelamat hadapi di lapangan," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Abdul Gapar berkata keupayaan mereplikasi keadaan bencana secara tepat penting bagi mempersiapkan pasukan penyelamat negara bagi menghadapi apa jua rintangan tidak dijangka, sekali gus meningkatkan keselamatan serta keberkesanan operasi mencari dan menyelamat.
"Sebagai pasukan elit, SMART NADMA perlu dilatih menggunakan semua peralatan berteknologi tinggi dengan 110 peratus ketepatan. Ini tidak boleh dilakukan di dalam bilik darjah ataupun di dalam kelas.
"Mereka akan lebih berkemahiran sekiranya mereka melalui situasi di pusat simulasi berkenaan dalam keadaan sebenar," katanya.
Beliau berkata pengoperasian pusat berkenaan juga membolehkan pasukan penyelamat terutamanya SMART NADMA berlatih lebih kerap tanpa perlu menghadiri kursus di luar negara.
“Kami mahu memastikan pasukan penyelamat kita memiliki pengalaman latihan bertaraf dunia tanpa perlu ke luar negara. Dengan adanya pusat ini, kita dapat mengurangkan kos latihan luar negara dan pada masa sama, membangunkan ekosistem latihan yang lebih komprehensif dan bersepadu dalam negara,” katanya.
Abdul Gapar berkata pusat simulasi bencana itu akan terus diperkembangkan dengan modul latihan baharu bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan penyelamat negara berada pada tahap tertinggi.
Beliau berkata NADMA turut bercadang membuka pusat itu kepada sektor swasta dan institusi akademik untuk penyelidikan dan pembangunan berkaitan pengurusan bencana.
“Ini adalah langkah ke hadapan untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya kesiapsiagaan bencana," katanya.
Pembinaan Pusat Simulasi Bencana Negara dijangka siap sepenuhnya pada bulan ini dan apabila beroperasi kelak, ia bakal menjadi pusat simulasi bencana yang pertama di Malaysia serta kedua di rantau ASEAN selepas Singapura.
-- BERNAMA