AM

Dua Maut Akibat Mesin Meletup, JKKP Keluar Notis Larangan Kerja

26/02/2025 05:45 PM

TANGKAK, 26 Feb (Bernama) -- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor hari ini mengeluarkan dua notis larangan berkaitan aktiviti kerja susulan letupan mesin di kilang pembuatan dan pemprosesan getah di sini sehingga menyebabkan dua lelaki maut dalam kejadian Isnin lepas.

Pengarah JKKP negeri Jaafar Leman berkata larangan berkaitan aktiviti kerja di mesin centrifugation serta pengoperasian di seluruh lokasi kemalangan di kilang terbabit berkuat kuasa sehingga siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kemalangan selesai dijalankan.

"Siasatan awal mendapati sebelum kemalangan terdapat aktiviti kerja penukaran bowl pada mesin centrifugation itu oleh dua pekerja kontraktor yang dilantik pihak kilang.

"Setelah kerja-kerja penukaran bowl pada mesin centrifugation selesai dijalankan, pekerja kontraktor terbabit telah memasang semula penutup pada mesin itu dan pengujian dijalankan pada mesin berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya setelah kira-kira 25 minit pengujian dijalankan, mesin dan bowl telah pecah menyebabkan pelbagai serpihan body part pada mesin, disc dan bowl berterbangan ke kawasan sekitar centrifugation itu.

Jaafar berkata kejadian itu mengakibatkan dua pekerja kontraktor dan tujuh pekerja kilang yang berada di sekitar kawasan kejadian cedera dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, namun dua yang cedera iaitu seorang pekerja kontraktor dan seorang pekerja kilang, telah meninggal dunia di hospital.

"Dua orang lagi masih menerima rawatan di hospital manakala selebihnya telah dibenarkan pulang.

Beliau berkata tindakan perundangan akan diambil terhadap pihak bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan denda hingga RM500,000, jika sabit kesalahan.

Semalam, Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib dilaporkan berkata dua lelaki tempatan berusia 45 dan 50 tahun maut manakala tujuh yang lain cedera selepas sebuah mesin meletup di kilang pembuatan dan pemprosesan getah di sini kira-kira 2 petang, Isnin.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396866