JENAYAH & MAHKAMAH

Juruteknik Maut Kemalangan Babit Empat Kenderaan Di Nilai

26/02/2025 02:42 PM

NILAI, 26 Feb (Bernama) -- Seorang juruteknik wanita maut apabila kereta dipandunya terlibat kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk dua lori tanpa muatan di Jalan Persiaran Nilai di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata kemalangan 7.25 pagi itu dipercayai berlaku ketika lori jenis Volvo dipandu lelaki berusia 34 tahun dari arah Puchong, Selangor menghala ke Bandar Enstek telah terbabas lalu melanggar belakang kereta Proton Saga dipandu mangsa yang berumur 23 tahun.

"Akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan menggelongsor ke depan dan melanggar pula bahagian belakang Proton Waja yang dipandu lelaki berumur 59 tahun, sebelum turut melanggar lori jenis Nissan yang berada di hadapannya.

"Disebabkan kemalangan itu, wanita terbabit cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Proton Waja mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk rawatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2396712