KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM19.97 juta bagi memastikan program pengimarahan di masjid dan surau sepanjang Ramadan tahun ini dilaksanakan lebih berkesan sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata peruntukan itu akan disalurkan menerusi bantuan Ihya Ramadan kepada semua masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya dan Labuan.
“(Pengagihan) peruntukan tersebut meliputi RM30,000 bagi setiap masjid, surau Jumaat (RM25,000) manakala surau (RM20,000). Alhamdulillah, sebanyak 94 masjid, 146 surau Jumaat dan 675 surau di Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya dan Labuan akan menerima manfaat daripada peruntukan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Pengurusan dan Penyampaian Bantuan Ihya Ramadan Masjid dan Surau serta Penyampaian Tauliah Amil Zakat Fitrah Wilayah Persekutuan 2025, di sini hari ini.
Mohd Na’im turut mengumumkan bahawa MAIWP akan menyalurkan bantuan Ramadan sebanyak RM500 kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan melibatkan dana zakat berjumlah RM16.148 juta.
“Bantuan ini diberikan sebagai persediaan bagi mereka menjalani ibadah dengan lebih sempurna sepanjang Ramadan. Penyaluran dana tersebut akan dimulakan secara berperingkat hari ini,” katanya.
Selain itu, beliau berkata MAIWP juga memperuntukkan sejumlah RM9.45 juta bagi meneruskan Program Iftar Rahmah MADANI kepada masjid-masjid terpilih memandangkan program berkenaan telah mendapat sambutan baik sebelum ini.
“Melalui program ini, orang ramai akan dapat menikmati juadah berbuka puasa secara percuma dengan mengambil makanan bungkus yang disediakan di masjid dan surau terpilih.
“Insya-Allah, usaha ini akan membantu meringankan beban masyarakat terutama mereka yang kurang berkemampuan dalam menjalani ibadah puasa dengan penuh kesyukuran,” katanya.
Mengenai imbuhan peruntukan MAIWP bagi imam ratib, pembantu bilal dan noja di masjid serta surau Jumaat, Mohd Na’im mengumumkan bahawa imbuhan itu dinaikkan sebanyak RM200 menjadikan setiap seorang akan memperoleh imbuhan antara RM850 dan RM1,550 sebulan mengikut jawatan masing-masing, berkuat kuasa Januari lepas.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menghargai peranan dan sumbangan besar para petugas masjid dan surau dalam pembangunan rohani dan kebajikan umat Islam,” katanya.
Sementara itu, beliau juga memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan bersetuju menetapkan tiga kadar zakat fitrah pada tahun ini iaitu RM7 bagi pengguna beras super tempatan gred lima peratus hancur.
“Dua lagi kadar adalah RM15 dan RM22 yang ditetapkan kepada mereka yang berkemampuan dan ingin membayar zakat fitrah mengikut jenis beras dimakan,” katanya.
-- BERNAMA