KOTA KINABALU, 26 Feb (Bernama) -- Sabah merekodkan kedatangan sebanyak 3.14 juta pelancong dengan anggaran perbelanjaan mencecah RM17.28 bilion sepanjang tahun lepas, sekali gus melebihi sasaran tiga juta pelancong yang ditetapkan kerajaan negeri.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Christina Liew berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 20.4 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan perbelanjaan dianggarkan sebanyak RM5.7 bilion pada 2023.
"Pemulihan kedatangan pelancong pada tahun lepas mencapai 75 peratus daripada tahap prapandemik, didorong oleh pasaran domestik dan negara serantau seperti China dan Brunei, manakala jumlah ketibaan pelancong antarabangsa secara keseluruhan telah pulih sebanyak 86 peratus.
“Pasaran sasaran seperti China, Indonesia, Filipina, Taiwan, Jepun, India dan Eropah mencatatkan pertumbuhan positif," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat 2025 dan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 (APC) Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah di sini malam ini.
Sementara itu, katanya Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) telah berjaya melaksanakan Projek Pemetaan Budaya Bersepadu Sabah (2024-2025) yang mengintegrasikan pangkalan data etnik.
Liew berlata Jabatan Muzium Negeri Sabah pula berjaya menambah sebanyak 15,400 koleksi baharu dan mendaftarkan sebanyak 960 data entri ke dalam sistem digital Sabah Museum Repository Information Cultural Heritage System (SMRICHES).
Dalam aspek pemuliharaan alam sekitar, katanya beberapa cadangan penubuhan taman baharu telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri termasuk di Teluk Darvel (126,475.16 hektar), Mantanani (160,975 hektar), Pulau Mengalum (624,316 hektar), dan Mamut (2,112 hektar).
Selain itu, Jabatan Hidupan Liar Sabah telah melantik 179 Renjer Komuniti di bawah program Biodiversity Patrolling and Protection (BP3) dan melaksanakan Pelan Tindakan Membanteras Jenayah Hidupan Liar bagi tempoh 10 tahun.
Katanya kementeriannya juga akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan program dan projek berimpak tinggi dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memperkukuh industri pelancongan, memartabatkan kebudayaan dan memperkukuh agenda pemuliharaan alam sekitar.
-- BERNAMA