SEPANG, 28 Feb (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 7 April untuk sebutan semula kes pelakon dan pelawak Muhammad Nizamuddin Ahmad atau lebih dikenali Along Cham yang didakwa atas pertuduhan memiliki 1.49 gram (g) kanabis dan memasukkan dadah ke badan.
Kes itu disebut di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Sutri Patang manakala Muhammad Nizamuddin diwakili peguam Syed Yusuf Syed Zaid.
Bekas peserta program realiti Raja Lawak berusia 42 tahun itu didakwa memiliki dadah di kediamannya di Cyberjaya pada 3.10 petang, 14 Dis 2024 mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memasukkan dadah disyaki jenis tetrahydrocannibol (THC) pada 10 malam, tarikh sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang boleh dibaca bersama 38B akta sama, membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang dua tahun serta tidak lebih tiga tahun.
Muhammad Nizamuddin hadir ke mahkamah bersama ibunya Siti Habsah Kadir, 64, dan memberitahu pemberita bahawa beliau memberikan komitmen penuh untuk menghadapi perbicaraan kes tersebut.
-- BERNAMA