KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Pemain perseorangan profesional lelaki negara Aidil Sholeh Ali Sadikin melakar kejayaan bermakna dalam kariernya selepas muncul juara Cabaran Antarabangsa Sri Lanka 2025 hari ini.
Pemain ranking ke-68 dunia itu hanya memerlukan 47 minit untuk menewaskan pemain nombor 210 dunia dari India, Pranay Katta 21-19 21-15 dalam aksi final di Kompleks Sukan St Joseph, Colombo.
Ia kejuaraan antarabangsa kedua buat pemain berusia 25 tahun itu selepas menjuarai Cabaran Antarabangsa Indonesia 2023 dan yang pertama sejak meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tahun lepas.
Terdahulu, beliau berjaya mara ke final selepas menewaskan atlet tuan rumah, Viren Nettasinghe 21-16 21-18 pada aksi separuh akhir.
Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah USD17,500 (kira-kira RM78,091).
-- BERNAMA