KUCHING, 3 Mac (Bernama) -- Grab Malaysia dan Sarawak Digital Economy Corporation Bhd (SDEC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mempercepat transformasi digital di Sarawak, khususnya dalam sektor pelancongan dan perniagaan kecil.
Grab menjelaskan sebagai pengiktirafan kepada peranan penting digitalisasi dalam ekonomi Sarawak yang sedang berkembang, perjanjian itu bertujuan memanfaatkan keupayaan teknologi dan aplikasi Grab.
Usaha itu bagi mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan utama kepada pengguna di seluruh Asia Tenggara.
“Grab dan SDEC juga akan berusaha membantu peniaga tempatan tradisional mendigitalkan perniagaan mereka, memberi mereka akses kepada pangkalan pelanggan yang lebih luas dan memperluas potensi pendapatan mereka,” menurut Grab dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo berkata MoU itu merupakan inisiatif terbaharu mereka di Sarawak bagi mencerminkan komitmen iaitu melaksanakan peranan yang lebih besar dalam menyokong pertumbuhan ekonomi digital yang terangkum dan mampan di seluruh Malaysia.
“Kami teruja untuk meningkatkan pelaburan kami di Sarawak selain berterima kasih atas kerjasama kerajaan Sarawak dan SDEC,” katanya.
Beliau berkata Grab akan memanfaatkan teknologi dan pandangan mereka untuk meningkatkan keupayaan digital di negeri ini.
Ini bagi mengukuhkan daya tahan perniagaan tempatan dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada warga Sarawak terhadap perkhidmatan dalam talian yang boleh dipercayai dan mudah.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Datuk Sudarnoto Osman berkata sektor pelancongan digital Sarawak menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi manakala kerjasama dengan Grab akan mengukuhkan komitmen mereka untuk meletakkan negeri ini sebagai hab digital terkemuka di rantau ini.
“Kerjasama ini merupakan langkah strategik untuk menarik inovasi, memperkasakan keusahawanan, merangsang pengembangan ekonomi dan mengukuhkan kedudukan Sarawak dalam peta digital global,” katanya.
Kerjasama itu akan memanfaatkan platform dan capaian Grab di Asia Tenggara untuk memperkasakan inisiatif kerajaan Sarawak dalam pelancongan pintar dan digital bagi mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.
Menerusi MoU itu, pewujudan ruang istirahat khusus Grab di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dapat dipermudah bertujuan menambah baik pengalaman pengunjung di samping mempromosikan peniaga tempatan Sarawak melalui program “GrabFood 5-Star”, program bimbingan dan literasi kewangan peniaga, pendigitalan Pasar Tani/Tamu serta pilihan mobiliti mampan.
Grab juga bergandingan dengan peruncit premium terbesar di Malaysia Timur, Everrise, melalui pengambilalihan rangkaian pasar raya itu dengan menyasar untuk mendigitalkan operasinya dan menawarkan kemudahan penghantaran barangan runcit atas permintaan kepada lebih ramai pengguna.
“Grab dan Everrise akan bekerjasama untuk menyepadukan teknologi Grab ke dalam operasi rangkaian pasar raya itu bagi menawarkan pengalaman beli-belah barangan runcit secara dalam talian yang boleh dipercayai dan konsisten kepada pengguna seperti beli-belah di kedai dengan pilihan penghantaran yang berpatutan dan boleh dipercayai,” menurut kenyataan itu.
Pengarah Eksekutif Everrise Jeffrey Sia berkata pihaknya telah mengenal pasti keperluan untuk melakukan perubahan berani kepada operasi yang lebih digital bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang dan Grab ialah rakan kongsi terbaik untuk membantu merealisasikan aspirasi itu.
“Grab memiliki teknologi dan kepakaran terbaik untuk memberikan pengalaman penghantaran barangan runcit dalam talian yang terbaik, dan paling penting mempunyai pandangan yang mengutamakan pelanggan,” katanya.
-- BERNAMA