MELAKA, 3 Mac (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah dianggar bernilai RM54,600 dalam serbuan di Banda Hilir, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dalam serbuan kira-kira 10 malam itu, sebanyak 62 botol dan 105 peket serbuk minuman pelbagai jenama mengandungi bahan disyaki dadah methylenedioxymethamphetamine (MDMA) masing-masing bernilai RM17,500 dan RM31,500 ditemukan dalam kenderaan suspek.
"Selain itu, turut ditemukan serbuk ketamin bernilai RM4,000, pil eremin 5 (RM400) dan pil ekstasi (RM1,200)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Batu Berendam di sini hari ini.
Christopher berkata dadah berkenaan dipercayai untuk kegunaan tempatan dan suspek mula aktif dalam kegiatan itu sejak sebulan lepas dengan ujian air kencing ke atasnya didapati negatif.
Beliau berkata lelaki itu yang mempunyai satu rekod lampau berkaitan jenayah di Johor direman tujuh hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA