AM

Kebakaran Kampung Cempaka: Penduduk Sempat Selamatkan Kucing, Hamster

03/03/2025 06:02 PM

KOTA KINABALU, 3 Mac (Bernama) -- Seorang penduduk sempat menyelamatkan beberapa ekor kucing dan hamster dalam kebakaran di Kampung Cempaka, Likas di sini, Sabtu lepas.

Alnori Asaat, 27, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata ketika kejadian awal pagi itu, beliau membawa keluar enam ekor hamster dan lima ekor kucing peliharaan penduduk daripada api yang sedang marak.

"Saya sempat selamatkan enam ekor hamster, lima ekor kucing termasuk seekor kucing saya yang ada saya bawa di sini (pusat pemindahan sementara)," katanya ketika ditemui Bernama di Dewan Serbaguna Likas, di sini hari ini.

Suri rumah Norpidah Junaidi, 26, bagaimanapun bersedih kerana tidak dapat menyelamatkan kucing peliharaan kesayangannya.

Katanya ketika kejadian dia terjaga susulan azan subuh dan terdengar bunyi bising sebelum keluar rumah dan melihat api sudah merebak memusnahkan rumah jiran yang selang sebuah sahaja daripada kediamannya.

"Kami tidak ingat sudah pasal kucing sebab panik, ingat anak-anak saja, keluar dari rumah, tong gas ada lima biji pun meletup," katanya yang tinggal bersama 14 ahli keluarganya dalam rumah itu.

Dayang Nuraini Burhan, 33, pula berkata dia hanya mampu membawa dokumen diri dan keluar rumah sehelai sepinggang kerana kejadian berlaku sangat cepat.

Menurutnya penduduk di situ berharap mereka dibenarkan untuk mendirikan semula rumah di tapak kebakaran itu kerana kekangan kewangan sekiranya terpaksa menyewa selain jauh dari sekolah.

Dalam kejadian awal pagi itu, seramai 511 orang daripada 91 keluarga hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Cempaka.

Dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mangsa kebakaran iaitu PPS Likas yang menempatkan 34 ketua isi rumah (KIR) membabitkan 200 penduduk manakala PPS Damai, Luyang seramai 57 KIR dan 311 penduduk.

Terdahulu Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengadakan lawatan dan memberi sumbangan kepada mangsa.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2398492