AM

PBT Disaran Papar Nombor Kecemasan Di Kawasan Bazar Ramadan - Dzulkefly

03/03/2025 07:20 PM

PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran memaparkan nombor kecemasan di kawasan bazar Ramadan bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku sebarang insiden.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata tindakan awal membuat panggilan kecemasan itu penting dalam menyelamatkan nyawa.

"Walaupun unit kecemasan tetap belum boleh diwujudkan di 1,292 tapak bazar di seluruh negara, paparan nombor kecemasan itu amat penting dalam menangani sebarang isu kecemasan," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke bazar Ramadan Presint 3 di sini hari ini.

Dzulkefly berkata demikian sebagai mengulas kejadian seorang lelaki warga emas rebah dan meninggal dunia pada hari pertama Ramadan di bazar Taman Seri Harapan, Baling, Kedah semalam.

Siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Selain itu, Dzulkefly menasihati masyarakat yang mengunjungi bazar Ramadan agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga susulan cuaca panas khususnya bagi warga emas dan kanak-kanak.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2398518