SUKAN

Sukan Olahraga Hilang ‘Sentuhan’ Harun Rasheed

04/03/2025 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Sukan olahraga negara kehilangan seorang yang disegani apabila bekas jurulatih skuad kebangsaan, Harun Rasheed Othman menghembuskan nafas terakhir hari ini pada usia 71 tahun.

Perkara itu disahkan Pengurus Besar Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Nurhayati Karim ketika dihubungi Bernama yang memaklumkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Kajang hari ini.

“Allahyarham aktif melatih malah saya sendiri pernah berhubung dengan beliau mengenai atlet Selangor di bawah bimbingannya dalam acara lari berganti-ganti dan pecut,” katanya. 

Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook KOM mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Harun Rasheed, yang juga bekas atlet dan jurulatih olahraga negara yang banyak berjasa kepada arena sukan tanah air.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” menurut hantaran itu. 

--BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2398777