JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Sarawak Patahkan Cubaan Seludup Minyak Diesel Di Miri

04/03/2025 06:23 PM

KUCHING, 4 Mac (Bernama) -- Polis Sarawak berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan minyak diesel selepas menahan seorang lelaki tempatan dalam Op Taring Landai yang dijalankan di Miri, bahagian utara negeri berkenaan semalam.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata lelaki berusia 46 tahun itu ditahan sepasukan Polis Gerakan Marin (PGM) Wilayah 5 pada 6.50 petang semasa suspek dalam perjalanan di Jalan Melor Bekenu.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan pikap yang dipandu suspek mendapati ia membawa muatan yang disyaki minyak diesel. 

“Kenderaan itu bersama minyak diesel yang dianggarkan RM105,000 kemudian dirampas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Alexson berkata kesemua barang rampasan itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2398896