Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Beberapa tahun lepas, harga yang dibayar untuk sepasang baju raya boleh dikatakan cerminan nilai baju itu - lagi tinggi harga lagi tinggi kualitinya.
Namun hari ini, nilai tinggi yang dibayar hanya memberikan kita sepasang baju “biasa-biasa” sahaja, mencetuskan persoalan adakah harga yang melambung itu cerminan nilai wang atau disebabkan oleh strategi pemasaran yang mengaburi mata pengguna?
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Dr Wan Nurisma Ayu Wan Ismail berkata lonjakan harga itu tidak mustahil berlaku jika penjual bijak memanfaatkan strategi pemasaran dengan mencipta ilusi keeksklusifan produk mereka.
pic-2
“Dalam era digital ini, jenama fesyen menggunakan pelbagai teknik pemasaran termasuk khidmat selebriti dan pempengaruh media sosial untuk membina nilai eksklusif dan status sosial produk mereka, yang secara tidak langsung memberikan impak kepada persepsi pengguna terhadap baju berkenaan,” katanya kepada Bernama.
Fenomena “Outfit of the Day” (OOTD) yang semakin menjadi norma dan budaya Aidilfitri turut menyumbang kepada perubahan tingkah laku pembeli, manakala paparan imej dan video di platform seperti Instagram dan TikTok memberi tekanan kepada pengguna untuk mendapatkan pakaian mengikut trend, walaupun dengan harga yang tinggi.
“Pengguna juga dipengaruhi oleh ‘hedonic consumption’, iaitu membeli bukan kerana keperluan atau kualiti tetapi hanya untuk kepuasan emosi yang diperoleh daripada membeli dan memakai sesuatu produk,” katanya.
pic-3
Menurut pakar tingkah laku pengguna ini lagi, hal itu menjelaskan faktor sesetengah pengguna sanggup membayar harga lebih tinggi walaupun kualiti produk tidak jauh berbeza dengan jenama biasa.
“Ulasan pelanggan sebenar juga penting kerana testimoni daripada pempengaruh berbayar mungkin tidak mencerminkan pengalaman sebenar pengguna,” katanya, menasihati pengguna agar lebih bijak berbelanja bagi mengelakkan pembelian tidak mencerminkan nilai sebenar wang dibelanja.
pic-4
Presiden Persatuan Pereka Fesyen Bumiputra Malaysia Rastawati Dewi Abdul Rashid berkata walaupun setiap peniaga mempunyai sasaran pelanggan tersendiri, harga yang dikenakan harus seiring dengan kualiti.
Lebih dikenali sebagai Rasta Rashid, pereka fesyen ini berkata sekiranya rekaan tersebut dihasilkan dalam jumlah terhad dan menggunakan fabrik premium atau rekaan khas oleh pereka tempatan, harga yang lebih tinggi adalah munasabah.
“Rata-rata harga yang agak rendah itu selalunya adalah pembuatan jahit pukal dengan setiap satu rekaan mempunyai lebih daripada 500 helai per koleksi. Turut memainkan peranan penting dalam penentuan harga ialah pemilihan kain, rekaan dan di mana pembuatan itu dilakukan,” katanya.
pic-5
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ariani Datin Seri Farah Haryani Muhammad Philip berkata pihaknya amat menitikberatkan aspek kualiti bagi memastikan kepuasan pelanggan.
“Di Ariani, baju berharga RM200 lebih ke atas tetapi kita berikan kualiti yang terbaik… bukan kita suka-suka letak harga RM200 atau RM300. Pelanggan kami ada yang masih pakai baju selepas tiga atau empat tahun, bukti bahawa kualiti sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
-- BERNAMA