POLITIK

Peter Anthony Ada 14 Hari Sebelum Hilang Kelayakan Sebagai ADUN - Speaker

05/03/2025 02:30 PM

KOTA KINABALU, 5 Mac (Bernama) -- Datuk Peter Anthony masih mempunyai 14 hari untuk mengambil sebarang tindakan mengikut undang-undang sebelum kehilangan kelayakan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap secara automatik. 

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Kadzim M.Yahya berkata tempoh itu bermula semalam selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas ADUN berkenaan atas kesalahan memalsukan dokumen. 

“Terpulang kepada dia untuk menghabiskan tempoh 14 hari ini, jika tempoh 14 hari itu tamat dan dia telah menggunakan semua saluran undang-undang, maka ia akan dikosongkan secara automatik,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mahkamah Rayuan semalam mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022 terhadap Peter, 54, iaitu penjara tiga tahun serta denda RM50,000 kerana memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), 11 tahun lepas.

Kadzim berkata status ADUN Melalap itu akan diputuskan setelah kesemua peruntukan undang-undang yang berkaitan telah dipenuhi.

Mengikut Perkara 17(1)(e) Perlembagaan Negeri Sabah, mana-mana ADUN disabitkan atas kesalahan oleh Mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara untuk tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000 akan hilang kelayakan sebagai seorang ADUN.

“Namun peruntukan itu hendaklah dibaca bersama dengan peruntukan-peruntukan lain di bawah Perlembagaan Negeri Sabah yang berkaitan dengan kehilangan kelayakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri,” katanya. 

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2399141