AM

CeIO Berhak Lapor Kes Salah Guna Kuasa Dalam Jabatan - Juanda

06/03/2025 03:31 PM

KUCHING, 6 Mac (Bernama) -- Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) berhak melaporkan sebarang isu disiplin dan penyalahgunaan kuasa dalam jabatan masing-masing kepada Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (Unions). 

Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya berkata ini memerlukan CeIO untuk lebih cakna sekiranya berlaku pelanggaran peraturan jabatan yang terkait dengan kes rasuah dan penyelewengan. 

“Jangan kita fikir yang boleh melaporkan kes sebegini hanya orang awam sahaja, CeIO adalah pegawai yang paling tahu prosedur untuk jabatan masing-masing.

“Orang luar tidak begitu arif selok-belok prosedur yang dilanggar, jadi mana-mana CeIO yang mengetahui terdapat pelanggaran peraturan, sila maklumkan kepada kami,” katanya ketika berucap di Program Citra Diri Pegawai Integriti Bertauliah, di sini hari ini. 

Beliau menyeru semua CeIO di Sarawak agar memainkan peranan masing-masing dalam memerangi rasuah dalam kalangan penjawat awam sebagai antara usaha mencapai matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang digerakkan kerajaan negeri.

Juanda berkata setiap CeIO perlu bersifat berani dan melakukan siasatan ke atas pegawai yang terbukti mempunyai masalah disiplin dan salah tadbir.

“Kita perlu banyak input daripada CeIO mengenai isu sebegini yang wujud dalam jabatan dan kita mahukan setiap jawatan di Sarawak ini bersih dan ‘kilat’ apabila diaudit,“ katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2399593