GAYA HIDUP

Pelajar Malaysia Kongsi Cabaran Jadi Imam Tarawih Di New Zealand

07/03/2025 10:23 AM

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Perlu menghabiskan bacaan satu juzuk atau kira-kira 20 muka surat al-Quran dalam lapan rakaat solat tarawih merupakan cabaran yang dihadapi Muhammad Hanif Zakaria ketika menjadi imam jemputan sepanjang Ramadan di Auckland, New Zealand.

Muhammad Hanif, 24, pelajar tahun tiga Sarjana Muda Pengajian Qiraat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), juga mencipta sejarah kerana menjadi pelajar Malaysia pertama sebagai imam jemputan di Masjid At-Tawheed di Papatoetoe, kira-kira 20 kilometer dari bandar raya Auckland, dari 2 hingga 26 Mac ini.

Berkongsi pengalaman ketika dihubungi Bernama, Muhammad Hanif yang juga seorang hafiz al-Quran, berkata di Malaysia lazimnya imam akan menghabiskan satu juzuk al-Quran bagi 20 rakaat solat tarawih, termasuk dibaca dalam solat isyak, namun di New Zealand beliau perlu habiskan satu juzuk dalam lapan rakaat.

“Saya bersama seorang lagi imam tempatan akan khatamkan satu juzuk al-Quran dalam lapan rakaat solat tarawih sahaja, masing-masing akan baca dua hingga ketiga muka surat bagi setiap rakaat, jadi qiam (berdiri) untuk satu rakaat lebih lama, tambahan pula bacaan saya perlu kuat dan berlagu.

“Di negara kita, walaupun satu juzuk al-Quran dikhatam setiap malam, imam biasanya akan baca satu muka surat al-Quran bagi setiap satu rakaat untuk 20 rakaat solat tarawih dan juga solat isyak. Jadi, qiam itu tidaklah terlalu lama,” katanya.

pic-2

Bagi menyesuaikan diri dengan cabaran tersebut, pemuda yang berasal dari Kampung Tukol, Peringat, Kelantan itu berkata beliau memperuntukkan dua waktu sehari untuk mengulang kaji bacaan ayat al-Quran yang akan dibacanya dalam solat tarawih, iaitu pada 4 pagi dan selepas waktu zuhur.

Selain itu, Muhammad Hanif berkata bagi mengekalkan stamina dan momentum sepanjang Ramadan, beliau turut mengambil rehat yang cukup dengan tidur beberapa jam selepas 8 pagi.

“Pada awal Ramadan, gementar itu ada juga kerana ini pengalaman pertama saya jadi imam solat tarawih di luar negara dengan amalan yang sedikit berbeza dengan kita, tapi alhamdulillah, kini saya sudah dapat menyesuaikan diri,” katanya, dan menambah beliau mengimamkan lebih 30 orang jemaah pada satu-satu masa.

Selain menjadi imam solat tarawih, Muhammad Hanif berkata beliau juga ditugaskan menjadi imam bagi solat lima waktu dan mengajar mengaji al-Quran selepas subuh kepada kanak-kanak komuniti Islam dari kawasan sekitar masjid itu.

Menyentuh suasana Ramadan di negara tersebut, anak bongsu daripada lima beradik itu berkata waktu berpuasa lebih panjang iaitu kira-kira 14 jam dengan waktu subuh sekitar 5.30 pagi dan maghrib pula pada 8 malam.

pic-3

“Pemerhatian saya juga mendapati komuniti Islam di sini sangat meraikan Ramadan dengan mereka berlumba-lumba melakukan kebaikan. Walaupun qiam untuk lapan rakaat solat tarawih di sini boleh dikatakan lama kerana imam khatam satu juzuk al-Quran,  jemaah tidak berganjak dan akan habiskan solat bersama.

“Begitu juga apabila tiba waktu berbuka puasa, mereka saling bertukar makanan,” katanya.

Mengenai pemilihannya menjadi imam di Auckland, Muhammad Hanif berkata tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk berjalan jauh ke luar negara apatah lagi menjadi imam jemputan.

“Kisahnya bermula apabila saya diminta hadir mengambil gambar dan membuat laporan mengenai sesi temu duga imam tarawih ke New Zealand yang dijalankan oleh kelab IQRA’ Centre for Ummah USIM memandangkan saya exco multimedia dan publisiti kelab tersebut.

“Tapi, tiba-tiba saya diminta untuk turut serta dalam temu duga tersebut, jadi terkejut jugalah kerana langsung tidak bersedia. Tapi mungkin berkat hafazan al-Quran, saya terpilih daripada empat pelajar lain,” katanya yang berlepas ke New Zealand pada 26 Feb lalu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2399866