AM

PM Anwar Hadir Program Ihya Ramadan Di PETRA

10/03/2025 03:40 PM

PUTRAJAYA, 10 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa menghadiri program Ihya Ramadan anjuran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di sini.

Ketibaan Anwar, yang juga Menteri Kewangan pada 12.10 tengah hari disambut Timbalan Perdana Menter merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof serta timbalannya Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Program dimulakan dengan mesyuarat antara Perdana Menteri dan pengurusan tertinggi PETRA bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan pemantapan tata kelola, inisiatif reformasi, serta pencapaian utama kementerian.

Anwar kemudian meluangkan masa menghadiri sesi tazkirah oleh penceramah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Ustaz Nabil Ahmad, bertajuk 'Ramadan: Syukuri Nikmat Air dan Tenaga'.

Usai tazkirah, Anwar menyertai warga PETRA untuk menunaikan solat Zohor berjemaah.

Sementara itu, PETRA dalam kenyataan memaklumkan Program Ihya Ramadan itu bertujuan sebagai wadah untuk Perdana Menteri menyantuni warga PETRA di samping bersama-sama memanfaatkan bulan Ramadan dengan mengisi amalan kerohanian menerusi majlis ilmu yang penuh keberkatan. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400819