AM

106 Pesakit Kanser Di Kedah Terima Bantuan Zakat Sempena Aidilfitri

10/03/2025 03:42 PM

ALOR SETAR, 10 Mac (Bernama) --  Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyampaikan sumbangan zakat dan pek barangan makanan kepada 106 pesakit kanser di negeri ini bagi membantu mereka membuat persiapan sempena Aidilfitri tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Agihan LZNK Mohamad Suraidi Saad berkata agihan itu keseluruhannya berjumlah RM27,200 dan dilakukan menerusi zakat wakalah hasil pembayaran zakat Syarikat Konsesi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam E-Idaman Sdn Bhd (E-Idaman) dan KSDC Insurance Brokers Sdn Bhd.

"Sumbangan hari ini sedikit sebanyak memberi kegembiraan kepada penerima untuk menyambut Aidilfitri dalam keadaan gembira sama seperti kita semua," katanya selepas Majlis Ramadan Kita di Dewan LZNK di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat E-idaman Sdn Bhd Ahmad Fuad Abdul Rahim, Pengarah Urusan KSDC Insurance Brokers Sdn Bhd Fadzil Rahman Kallahan, Penaung Persatuan Sukarelawan Kanser Kedah Datuk Mohd Asri Redha dan Presiden Kelab Elit Media Kedah (KMEK) Hifzuddin Ikhsan.

Mohamad Suraidi berkata pada tahun ini, LZNK akan mengagihkan zakat berjumlah RM14 juta dengan bayaran dimasukkan ke akaun penerima sebelum Aidilfitri bagi meringankan beban golongan asnaf.

Sementara itu, Nurul Nadia Abu Bakar, 37, dari Pendang berkata dia menerima sumbangan hari ini mewakili dua anaknya Muhammad Hasif Thaqif Mohamad Nasrul, 14, dan Nur Azra Faqihah, 11, yang kedua-duanya menghidap kanser mata sejak kecil.

“Sumbangan yang diterima sangat bermakna terutama ketika Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi,” katanya yang memaklumkan mata kiri kedua-dua anaknya itu terpaksa dibuang akibat penyakit berkenaan.

Nurul Husna Mohd Khir, 31, dari Kuala Ketil pula berkata dia bersyukur dengan sumbangan yang diberikan kepada anaknya Puteri Syafia Humairah Mohd Samrin, 8, yang menghidap kanser darah ketika berusia dua tahun.

"Sumbangan yang diterima hari ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan ketika Ramadan ini dan Aidilfitri akan datang, tambahan suami hanya bekerja di kilang, saya suri rumah sepenuh masa," katanya yang bersyukur anak sulungnya itu kini sudah bebas kanser sejak dua tahun lepas dan hanya perlu melakukan pemeriksaan susulan setiap bulan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400821