KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Sepasang suami isteri didakwa di dua mahkamah berasingan di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh dan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki yang merupakan anak asuhan mereka, minggu lepas.
Di Mahkamah Majistret, penunggang p-hailing Muhammad Syafiq Daniel Osman, 26, didakwa membunuh Muhammad Shakir Firman Mohammad yang berusia lima tahun lapan bulan di sebuah bilik hotel di Jalan Ipoh, Sentul di sini pada 1.15 pagi, 3 Mac lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Amira Abd Aziz, berikutan kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 26 Mei ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ravindejit Kaur manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Di Mahkamah Sesyen, isteri Muhammad Syafiq Daniel, Nur Nilam Kamaruddin, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya kanak-kanak sama sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong di sini pada 9 malam, 25 Feb lepas.
Dia dituduh mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukan hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
TPR Joshua Tee Yee Khuan yang mengendalikan prosiding tidak mencadangkan jaminan atas alasan mangsa dalam kes berkenaan telah meninggal dunia.
Nur Nilam yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jaminan rendah dengan alasan sedang mengandung dua bulan selain perlu menjaga tiga anak.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai dan menetapkan 9 April depan sebutan kes.
-- BERNAMA