AM

KPT Teruskan Dialog Dengan Industri Bagi Tingkatkan Keperluan Khusus Pelajar

09/03/2025 10:47 PM

GEORGE TOWN, 9 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan sesi dialog dengan pemain industri dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor bagi mendapatkan maklum balas berkaitan dengan keperluan khusus untuk meningkatkan kemahiran pelajar.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata maklum balas itu selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan pendidikan tinggi memberi keutamaan kepada keperluan industri.

"Saya berada di Pulau Pinang hari ini dan mengadakan sesi dialog khususnya dengan pemain industri dalam bidang E&E dan semikonduktor, kerajaan ingin mendapatkan pandangan mereka bagaimana kita nak bersama-sama dengan pihak industri, khususnya dalam konteks hubungan antara akademia iaitu pihak universiti dan industri.

"Ia antara pendekatan yang kerajaan lakukan sekarang ini iaitu kita tekankan dari aspek memberikan keutamaan kepada keperluan industri, maka kita perlu memahami apa isu sebenar.

"Pertemuan itu juga telah memberikan satu perspektif yang sangat baik daripada pihak industri kerana mereka memberikan pelbagai pandangan dan nasihat yang lebih efektif untuk kita laksanakan, khususnya dalam konteks menghasilkan dan melihat bakat yang diperlukan pihak industri, " katanya. 

Zambry ditemui selepas hadir Kembara Ramadan KPT 2025 di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini, dengan USM merupakan universiti ke empat beliau hadir menerusi program tersebut.

Beliau berkata KPT juga komited dalam memperkukuhkan hubungan antara dunia pendidikan dan industri, khususnya dalam konteks pembinaan serta pembangunan bakat dalam kalangan pelajar.

Zambry berkata ini selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan pendidikan tinggi memberi keutamaan kepada keperluan industri termasuk memastikan KPT menghasilkan pelajar yang memenuhi permintaan pihak industri.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400626