JENAYAH & MAHKAMAH

Pengurus Projek Mengaku Tidak Bersalah Palsukan Dokumen Tuntutan Bayaran

07/03/2025 06:26 PM

KOTA KINABALU, 7 Mac (Bernama) -- Seorang pengurus projek jalan raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memalsukan dokumen bagi mendapatkan bayaran berjumlah RM46,848,713 daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sabah antara 2016 hingga 2018.

Victor Voo Chung Sain, 51, yang juga pengurus di sebuah syarikat pembinaan membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Bagi pertuduhan pertama, Voo didakwa dengan niat curangnya telah menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu billed items yang mengandungi butiran palsu untuk mendapatkan bayaran berjumlah RM394,915.56 antara 30 Dis 2016 hingga Jan 2017 bagi pembinaan projek persimpangan bertingkat dan lorong ketiga, iaitu persimpangan Jalan Lintas/Jalan Kolam/Jalan Tuaran Batu 5 ½ . 

Voo juga dituduh memalsukan dokumen bagi menuntut bayaran berjumlah RM425,293.68 yang dilakukan antara 31 Julai 2017 hingga 1 Ogos 2017 untuk projek pembinaan sama yang mengandungi butiran palsu untuk dikemukakan kepada JKR.

Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa dengan niat curangnya telah menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu site measurement bagi projek itu yang mengandungi tandatangan palsu dengan dokumen terbabit telah dikemukakan kepada JKR Sabah pada 24 April 2018 untuk menipu bagi tujuan mendapatkan bayaran bagi kontrak keseluruhannya bernilai RM46,028,504.04.

Voo didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 Kanun yang sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rekhraj Singh manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan.

Mahkamah menetapkan 14 April ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin, perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan sekali, tidak mengganggu saksi dan pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada pihak mahkamah.

-- BERNAMA


 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400096