SUKAN

Wanita Di Sebalik Kejayaan Sukan Malaysia: Dari ‘bayangan’ Ke Barisan Hadapan

08/03/2025 10:40 AM

Oleh Farah Najihah Zuraimi dan Nurul Izzati Mansor

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Ketika wisel penamat ditiup dan trofi kejuaraan dijulang, sorakan gemuruh pastinya tertumpu kepada atlet dan pasukan yang berjuang habis-habisan di gelanggang pertandingan.

Namun jika diselidik, kejayaan itu pasti terselit susuk wanita yang menjadi ‘arkitek’ mengatur strategi serta merencana pembangunan atlet di meja bulat bagi memastikan Malaysia kekal di landasan terbaik menuju kejayaan.

Peranan mereka semakin diiktiraf, bukan sekadar ‘bayangan’ di balik tabir tetapi sebagai penggerak utama landskap sukan negara, membuktikan wanita tidak hanya penyokong di tepi padang tetapi pemimpin yang mencorak hala tuju dan mencipta sejarah di pentas tertinggi.

Banyak figura boleh dijadikan contoh namun legenda olahraga negara Datuk Marina Chin telah meletakkan dirinya  di carta teratas arena sukan Malaysia apabila menjadi antara pencetus menerajui peranan kepimpinan yang didominasi lelaki.

Marina berkali-kali diberi mandat besar termasuk sebagai Pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2017, mengetuai kajian gangguan seksual dan isu psikologi dalam sukan berprestasi tinggi hingga kini memegang jawatan Pengerusi Lembaga Institut Sukan Negara (ISN).

"Pertama sekali, saya melihat diri saya sebagai pemimpin diberi peluang, bukan sebagai wanita yang diberi peluang. Saya percaya orang mengenali saya berdasarkan siapa saya, bukan kerana saya seorang pemimpin wanita.

"Saya yakin apabila wanita mencapai lebih banyak kejayaan dalam sukan dan pelajaran, mereka menjadi lebih berdikari dan berani untuk melaksanakan tugas diberikan serta berusaha melakukan yang terbaik sehingga diiktiraf atas usaha mereka. Bagi saya, wanita harus yakin pada diri sendiri, dan jika diberi tugas, terimalah dan lakukan yang terbaik mengikut kemampuan mereka," katanya kepada Bernama sempena Hari Wanita Antarabangsa 2025 bertemakan Accelerate Action. 

Walaupun sudah mencecah usia 70 tahun, pemenang pingat emas Sukan SEA enam kali itu masih gagah menawarkan kepakaran kepada semua pihak berkepentingan sekali gus membuktikan wanita tidak lemah, dan berharap impiannya untuk melihat lebih ramai wanita menerajui kepimpinan tertinggi persatuan sukan negara mampu terlaksana suatu hari nanti.  

Sementara itu, Ketua Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Shalin Zulkifli menyifatkan kewujudan individu wanita dalam pengurusan dan pentadbiran sukan penting bagi memastikan kesamarataan dalam pembangunan atlet tanah air.  

Bekas ratu boling itu berkata selari dengan tema diangkat tahun ini, semua wanita perlu mengambil langkah untuk 'turun padang' dan menyuarakan segala hak diperlukan mereka dalam industri sukan negara. 

"Contohnya dari segi kebajikan atlet, kontrak atlet, kita sudah mansuhkan klausa atlet hamil perlu dihentikan kontrak selain masukkan cuti bersalin untuk atlet. 

"Idea-idea ini semestinya datang dari wanita dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sendiri adalah wanita, itulah kepentingan wanita dalam pentadbiran sukan," katanya. 

Sementara itu, Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mumtaz Jaffar berpandangan wanita memiliki ketekunan dan fokus yang tinggi dalam melaksanakan tugas, menjadikan mereka aset penting dalam kepimpinan sukan. 

"Dalam satu persatuan mesti ada kuota. Jadi, saya rasa kita sendiri akan berusaha untuk tunjuk kemajuan dan nanti mereka akan mengambil kita untuk bersama persatuan yang dipilih. Saya percaya lain persatuan lain sifat kepimpinannya," kata legenda olahraga negara itu. 

Secara idealnya masa depan wanita dalam kepimpinan sukan Malaysia semakin cerah, justeru, sokongan berterusan pelbagai pihak termasuk kerajaan, persatuan sukan dan peminat amat penting bagi memastikan lebih ramai wanita diberi peluang untuk menerajui perubahan.

– BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400209