AM

Utamakan Keselamatan, Perkhidmatan Kecemasan Dalam Perancangan Infrastruktur Sungai Buloh - Ramanan

09/03/2025 01:54 PM

PETALING JAYA, 9 Mac (Bernama) --  Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R. Ramanan menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju mengutamakan aspek keselamatan serta perkhidmatan respons kecemasan dalam perancangan infrastruktur di Sungai Buloh.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut akan terlibat dengan semua pihak berkaitan, termasuk PBT dan pemaju untuk memastikan projek baharu dan sedia ada benar-benar mematuhi serta memenuhi peraturan keselamatan.

“Kami juga akan bekerjasama rapat dengan semua persatuan penduduk di kawasan Sungai Buloh untuk menyokong perubahan dasar.

“Perubahan ini, termasuk audit keselamatan kebakaran mandatori untuk pembangunan kediaman dan komersial, memastikan laluan kecemasan tiada sekatan serta tidak terhalang. Setiap detik sungguh bermakna dan setiap nyawa amat berharga,” katanya.

Ramanan berkata demikian pada “Seminar on Safety and Security” yang diadakan di Tropicana Golf & Country Resort Club di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pegawai Khasnya Vignesvaran Gunasagaran.

Ramanan juga menyentuh mengenai kepentingan mempunyai balai bomba di kawasan itu, khususnya di Kota Damansara kerana balai bomba paling terdekat di kawasan berkenaan terletak di SS2.

"Jarak antara komuniti dan balai bomba sangat mempengaruhi masa respons kecemasan untuk menyelamatkan nyawa. Kebakaran merebak dengan cepat dan setiap detik penting. Ini sebabnya kita memerlukan balai bomba yang lebih dekat dengan komuniti," katanya.

Ramanan berkata Kerajaan MADANI komited untuk memastikan keselamatan dan kesiapsiagaan kecemasan diutamakan dalam pembangunan negara.

“Kami komited untuk memastikan balai bomba, balai polis dan perkhidmatan kecemasan terletak di lokasi yang strategik bagi memberikan perkhidmatan yang berkesan kepada masyarakat,” katanya.

“Selain itu, kami menyokong peraturan bangunan lebih ketat untuk memastikan semua pembangunan baharu menggabungkan aspek keselamatan kebakaran yang berkesan dan laluan kecemasan yang mudah diakses,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400502