KANGAR, 9 Mac (Bernama) -- Penghuni Pusat Koreksional Perlis, Jabatan Penjara Malaysia di Arau yang meninggal dunia Jumaat lepas didapati mempunyai ketumbuhan dalam organ hatinya yang pecah dan menyebabkan pendarahan.
Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata pakar patologi berpendapat punca kematian lelaki berusia 23 tahun itu adalah disebabkan ketumbuhan yang pecah tersebut.
“Pakar patologi juga berpendapat ketumbuhan yang pecah itu juga tidak mustahil disebabkan lelaki ini jatuh manakala corak kecederaan yang terdapat pada tubuhnya tidak kelihatan seperti satu tindakan penderaan.
“Namun pemeriksaan lanjut diperlukan bagi mengenal pasti jenis ketumbuhan yang pecah tersebut. Sampel ketumbuhan dan DNA (asid deoksiribonukleik) lelaki ini telah dihantar ke Jabatan Kimia Pulau Pinang bagi mendapatkan laporan toksikologi,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, media melaporkan lelaki yang merupakan tahanan reman bagi kes dadah di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu meninggal dunia semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini selepas dipercayai terjatuh di bilik air pada 6 Mac lepas.
-- BERNAMA