AM

Selangor Sedia Bantu Keluarga Dua Pelajar Terlibat Kemalangan Di Jordan

09/03/2025 06:32 PM

SHAH ALAM, 9 Mac (Bernama) -- Kerajaan Selangor bersedia untuk membantu keluarga dua pelajar yang terlibat dalam kemalangan di Jordan, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari. 

Beliau berkata pejabatnya telah berhubung dengan waris dan keluarga pelajar yang terlibat selain akan memantau keadaaan dari semasa ke semasa. 

“Dua pelajar wanita dari Selangor tersebut ialah Sumayya Azamuddin dan Fatimah Nuha Mustaza. Sumayya dilaporkan mengalami cedera ringan manakala Fatimah Nuha cedera parah dan sedang menerima rawatan lanjut,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.

Amirudin dalam hantaran berasingan berkata pihaknya turut dimaklumkan ibu bapa kepada Fatimah Nuha akan bertolak ke Jordan malam ini bagi menguruskan anak mereka yang selesai menjalani pembedahan dan sedang menerima rawatan susulan di sebuah hospital di negara itu. 

“Insya-Allah, kerajaan negeri sentiasa memantau keadaan semasa berhubung kebajikan pelajar Selangor di luar negara. Saya turut menyampaikan sedikit sumbangan peribadi kepada Encik Mustaza sebelum beliau berangkat ke Jordan malam ini.

“Di bulan Ramadan yang mulia ini marilah kita sama-sama berdoa agar urusan kedua-dua pelajar ini dan keluarga mereka dipermudahkan serta diberi kesembuhan,” katanya. 

Terdahulu, media melaporkan empat pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Universiti Mu’tah, Jordan, mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di negara itu, Jumaat lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khaled memaklumkan dua daripada pelajar terbabit berasal dari Johor dan merupakan pelajar tahun pertama dalam bidang Fiqh Wa Usul di universiti itu. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400571