Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Melihat solekan dengan teknik kening dilukis nipis serta gincu warna gelap seperti coklat dan ungu semestinya membangkitkan semula nostalgia stail mekap era 90-an yang cukup popular satu ketika dahulu terutama dalam kalangan selebriti tempatan antaranya Ziana Zain dan Amy Mastura.
Gaya mekap itu kini kembali mendapat perhatian generasi muda sehingga ramai pempengaruh di media sosial cuba menghidupkan semula gaya klasik itu dengan sentuhan lebih segar apabila ada individu memulakan trend "Makeup The Year You Were Born" yang rata-rata lahir sekitar awal dan hujung era tersebut.
Walaupun sekadar suka-suka, ada juga perdebatan dalam kalangan netizen kerana kebanyakan video dimuat naik memaparkan solekan menggunakan bedak asas terlalu tebal serta bermain dengan warna yang terlalu gelap dan terang sehingga menghilangkan keaslian wajah selain nampak kurang menarik.
pic-2
Fenomena itu turut mendapat perhatian jurumekap "otai" Zulfazli Suhadi yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam bidang berkenaan dengan sentuhan anak kelahiran Selangor ini sering menjadi pilihan selebriti tempatan pada era tersebut.
Pernah menyolek artis terkemuka tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Erra Fazira dan Sofea Jane, jurusolek berusia 58 tahun itu menyangkal mekap pada era tersebut menenggelamkan kecantikan semula jadi serta berpandangan kebanyakan pencipta kandungan menggunakan teknik yang kurang tepat.
"Kebanyakan video recreate yang saya tengok mereka buat sebenarnya adalah mekap era 80-an, bukannya 90-an kerana ciri mekap 90-an sepatutnya berasaskan warna semula jadi dan tidak menggunakan ‘shading’ keterlaluan.
“Make up 90-an tak ada colour sangat, eyeshadow tak menyala. Kalau eyeshadow yang mereka buat menyala berwarna-warni, bedak muka putih serta menggunakan warna gelap adalah gaya 80-an sebenarnya," kongsinya ketika dihubungi Bernama.
pic-3
Berkecimpung dalam bidang tersebut sejak 1984, Zulfazli berkongsi bahawa antara ciri trend mekap pada zaman itu tertumpu pada bentuk kening nipis, dan pada wajah pula hanya menggunakan bedak yang disapu rata tanpa contour.
"Kita contour more kepada blusher sahaja. Warna mekap ikut pada earth tone sebenarnya. Lipstick merah, dia banyak macam padananlah kalau eyeshadow purple, lipstick purple, macam tu,” katanya yang masih menerima permintaan gaya mekap 90-an daripada klien.
Teruja apabila stail mekap itu mendapat perhatian dan digayakan semula selain meraikan bakat generasi muda, namun Zulfazli berharap pencipta kandungan mengkaji dahulu sebelum memuat naik kandungan termasuk tutorial mana-mana gaya solekan.
pic-4
Sementara itu, jurusolek Noor Hidayu Afandi, 35, yang berpengalaman selama 11 tahun, berpandangan trend mekap dipaparkan mungkin merujuk riasan orang biasa yang tidak mempunyai kemahiran dan bukannya jurusolek profesional.
“Dulu siapa-siapa sahaja mungkin boleh jadi bidang terjun untuk mekapkan orang. Tidak macam sekarang, budak sekolah pun pandai solek … Mekap 90-an masih kurang teknik soft blend, eyeliner bawah mata, atas mata dan lagi pula semuanya apply macam tu sahaja tanpa tengok kesesuaian.
"So untuk gaya masa kini, base yang nipis, eyeliner yang soft dan lipstick yang complement the whole mekap serta boleh buat muka lebih fresh dan authentic. Seingat saya, my mom dulu suka guna lipstick matte berwarna gelap. Warna macam itu kena sesuaikan dengan features sebab kalau silap boleh nampak lebih matang atau berusia,” kata Lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuteraan daripada Universiti Malaysia Perlis itu.
pic-5
Pempengaruh TikTok, Izziatul Adlina Mohamed Shokri atau dikenali dengan Izzy Adlina antara yang memuat naik kandungan tutorial mekap sebegitu, berpandangan solekan pada zaman itu sangat mudah dan tidak terlalu berat, namun pada masa sama mampu menyerlahkan kecantikan semula jadi individu tanpa mengubah rupa asal, selain teknik digunakan juga senang diikuti oleh orang ramai.
Wanita berusia 37 tahun itu juga berpandangan solekan pada zaman 90-an lebih bersifat universal yang sesuai dengan semua warna kulit, fizikal dan bentuk muka berbanding tema tersendiri seperti Douyin, bollywood, soft glam atau full glam yang wujud sekarang.
“Aku ini mewakili penduduk generasi X rasa tersinggung ya dengan trend mekap 90-an yang engkau BBNU (budak-budak baru nak up) buat ini. Sejak bilalah mekap 90-an itu hodoh macam gitu. Korang perasan tak orang-orang generasi X ini, dorang awet muda sebab apa? Sebab dorang amalkan less is more,” katanya dalam nada bersahaja pada video berdurasi dua minit 43 saat berkenaan.
-- BERNAMA