EKONOMI

Malaysia Boleh Raih Penarafan Positif Jika Prestasi Fiskal Kekal Hingga 2025 - Maybank Research

10/03/2025 03:11 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Maybank Research Pte Ltd mengulangi pendirian bahawa Malaysia mungkin menerima satu langkah penarafan positif daripada S&P, Moody’s atau Fitch menjelang pertengahan 2026 sekiranya momentum prestasi fiskal yang baik dapat dikekalkan sehingga 2025.

Dalam nota penyelidikan hari ini, katanya pada masa ini Moody’s dan S&P memberikan penarafan “A3/A-” kepada Malaysia manakala Fitch memberikan satu tahap lebih rendah iaitu “BBB+”, dengan ketiga-tiga agensi berkenaan memberikan prospek stabil terhadap penarafan itu.

“Kami terus menjangkakan satu langkah penarafan positif sama ada daripada S&P, Moody’s atau Fitch menjelang pertengahan 2026, walaupun ini dijangka memerlukan Malaysia menunjukkan prestasi fiskal tambahan yang lebih baik pada 2025 bagi menambah baik skornya dalam teras fiskal memandangkan ini adalah halangan utama kepada profil kredit Malaysia,” katanya.

Maybank Research berkata profil institusi kekal stabil dan teras ekonomi disokong oleh pertumbuhan yang berdaya tahan.

“Keberhutangan awam dijangka kekal pada atau melebihi 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang melainkan sekiranya pertumbuhan KDNK menunjukkan peningkatan.

“Peningkatan dalam kutipan cukai dan kenaikan hasil kerajaan turut merupakan faktor utama untuk meningkatkan penarafan Malaysia,” katanya.

Menurut bank berkenaan kerajaan telah menunjukkan disiplin fiskal dengan mengurangkan defisit belanjawan kepada 4.1 peratus daripada KDNK pada 2024 daripada 6.4 peratus pada 2021.

Walaupun ia masih lebih tinggi daripada 3.4 peratus sebelum COVID-19 pada 2019 katanya pengurangan defisit tambahan dijangka pada 2025, dan rangka kerja fiskal jangka sederhana menyasarkan pengurangan secara berperingkat dalam jurang belanjawan kepada sekitar 3.0 peratus daripada KDNK pada 2027.

Sementara itu, Maybank Research mengunjurkan terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) berjumlah RM164 bilion kasar dan kira-kira RM80 bilion bersih untuk membiayai defisit belanjawan RM80 bilion dan pembiayaan semula RM83.5 bilion untuk tempoh matang, dengan andaian kerajaan akan mencapai sasaran defisit 3.8 peratus daripada KDNK pada 2025.

“Kami tidak menjangkakan bekalan tambahan untuk membiayai pengurangan dalam Bil Perbendaharaan, memandangkan jumlah terkumpul telah dikurangkan kepada RM15 bilion pada Disember 2024 daripada RM31.5 bilion pada Disember 2022, menyumbang 1.2 peratus daripada jumlah hutang awam.

“Kami mengandaikan kematangan bon mata wang asing US$1 bilion pada April akan dibiayai semula dalam dolar AS; sekiranya tidak, kami akan menyemak semula unjuran bekalan kasar dengan peningkatan RM4 bilion,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400803