GAYA HIDUP

Wanita Malaysia Perjuangkan Kecergasan Sebagai Kunci Kejayaan

10/03/2025 02:13 PM

KUALA LUMPUR,  10 Mac (Bernama) -- Navinder Kaur Thandal merupakan epitome wanita yang memanfaatkan sepenuhnya potensi diri.

Beberapa tahun lalu, jurulatih peribadi dan jurulatih kesihatan bertauliah berusia awal 30-an ini menceburi sukan gusti lengan bagi memecahkan sterotaip gender selain turut menyertai beberapa kejohanan peringkat kebangsaan.

Memperjuangkan kuasa transformasi dengan mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan diri, Navider adalah antara wanita yang memecahkan halangan dalam sukan kompetitif serta kepimpinan korporat melalui kecergasan.

“Kecergasan bukan tentang estetika semata-mata, tetapi juga tentang pemerkasaan dari segi mental dan fizikal. Semasa saya mula berjinak-jinak dalam kecergasan pada 2016, latihan membina kekuatan mengubah diri saya. Latihan itu membina keyakinan, disiplin dan ketahanan mental,” katanya kepada Bernama, menambah pesanannya kepada semua wanita bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac lalu ialah “Kecergasan adalah batu loncatan kepada kejayaan dalam semua aspek kehidupan.”

Navinder berkata beliau kerap ditanya mengapa wanita melibatkan diri dalam latihan membina kekuatan dan gusti lengan. Bagaimanapun beliau percaya tidak ada halangan gender dalam sukan, dan latihan membina kekuatan pula berpotensi mengubah kehidupan seseorang.

pic-2

“Ramai wanita takut untuk jalani latihan angkat berat kerana mereka fikir aktiviti itu akan jadikan tubuh mereka berotot dan besar. Sebenarnya, membina otot menjadikan anda lebih kuat, sihat dan yakin diri. Latihan kekuatan penting untuk wanita, kerana bukan sahaja dapat meningkatkan kesihatan fizikal tetapi juga membantu mengatasi masalah seperti PCOS (sindrom ovari polisistik), ketidakseimbangan hormon, kebimbangan dan kemurungan.

“Transformasi sebenar berlaku apabila anda membenarkan tubuh anda berkembang. Wanita hari ini bukan sahaja berdepan dengan peratusan lemak badan yang tinggi tetapi juga kekurangan otot, yang boleh membawa kepada masalah kesihatan jangka panjang. Latihan kekuatan adalah kaedah terbaik untuk mengekalkan jisim otot, terutamanya apabila usia meningkat. Latihan ini bukan sekadar tentang kecergasan, tetapi juga berkenaan umur panjang dan kualiti hidup,” katanya.

Navinder yang mengendalikan pusat kecergasan bersama-sama dengan rakan kongsi di USJ 9, Subang Jaya, Selangor, menambah bahawa apa yang terus memberi motivasi kepadanya ialah melihat transformasi dan peningkatan keyakinan dalam kalangan kliennya.

“Kecergasan adalah cinta diri, rasa hormat terhadap diri sendiri dan disiplin diri. Apabila anda mengutamakan kesihatan, segala aspek dalam kehidupan anda akan bertambah baik.”

pic-3

Kalwinder Kaur, seorang eksekutif kanan korporat di sebuah syarikat swasta, bersetuju dengan pandangan itu dan menekankan kepentingan konsistensi serta keseimbangan dalam mencapai matlamat kesihatan.

“Kesihatan dan kecergasan adalah perjalanan sepanjang hayat. Penetapan matlamat yang realistik dan mengekalkan pemakanan seimbang amat penting,” katanya, menambah beliau mengutamakan kecergasan dan menggemblengkan senaman dalam rutin harian walaupun pada hari beliau amat sibuk.

“Bersenam memberikan saya tenaga, menajamkan daya tumpuan dan menguatkan keupayaan saya untuk menangani stres. Disiplin yang terbentuk daripada rejim kecergasan saya terjemahkan dalam kerjaya saya, menjadikan saya lebih berdaya tahan dan berkeyakinan,” kongsinya.

pic-4

Bekas Mrs Malaysia World Priya Simmi, seorang usahawan dan juga juga pejuang pemerkasaan wanita, menggesa kaum Hawa agar mengutamakan penjagaan diri.

“Pesanan saya bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa mudah: walaupun kita banyak berkorban untuk orang lain, adalah penting untuk kita meluangkan masa buat diri sendiri." 

pic-5

Sebagai seorang doktor estetik, pemuzik dan usahawan, Dr. Thyivya Kalaiselvan percaya bahawa mengejar minat di samping komitmen profesional adalah kunci kepada kehidupan yang bermakna.

“Muzik telah menjadi sebahagian daripada hidup saya sejak kecil dan ia memberi inspirasi serta kreativiti dalam kerjaya keusahawanan saya. Namun, jangkaan masyarakat boleh menjadi satu cabaran, kerana kadangkala orang tidak mengambil serius apabila kita mempunyai minat dalam pelbagai bidang.

“Saya atasi perkara ini dengan memilih kerjaya yang memberi saya fleksibiliti untuk mengejar kedua-dua, iaitu profesion dan minat saya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400720