KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) telah memperhalus beberapa ciri keperluan penyertaan bagi penanggung Insurans dan pengendali takaful digital (DITO) dalam dokumen dasar rangka kerja pelesenan dan pengawalseliaannya bagi DITO yang dikeluarkan hari ini.
Bank pusat berkata di bawah keperluan yang diperhaluskan itu, DITO akan melalui fasa asas dalam tempoh antara tiga hingga tujuh tahun untuk membuktikan daya maju perniagaan dan kekukuhan operasi mereka.
“Sepanjang tempoh fasa asas, DITO juga perlu mengekalkan dana modal minimum yang lebih rendah dan setara dengan operasi perniagaan DITO pada peringkat awal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, BNM berkata DITO dicirikan oleh operasi digital mereka, dengan model perniagaan dan produk yang inovatif untuk memenuhi keperluan pengguna secara lebih baik.
“Apabila mula beroperasi, DITO dijangka merapatkan jurang perlindungan penting dalam segmen yang berfokuskan digital serta saling melengkapi penanggung insurans dan pengendali takaful berlesen sedia ada dan peserta lain dalam rantaian nilai insurans dan takaful,” katanya.
Menurut BNM, langkah memperhalus keperluan penyertaan itu dibuat setelah mengambil kira maklum balas dan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan dan selaras dengan teras strategik Pelan Sektor Kewangan 2022–2026 untuk memajukan pendigitalan dalam sektor kewangan.
“BNM akan mengeluarkan lesen kepada pemohon yang berjaya menunjukkan kapasiti dan keupayaan mereka untuk mencapai matlamat dasar yang dihasratkan dan pada masa yang sama mengekalkan tumpuan yang teguh terhadap aspek pengurusan risiko dan perlindungan pengguna,” katanya.
,Pemohon yang berminat dipelawa untuk mengemukakan permohonan rasmi kepada BNM mulai 2 Januari 2025 hingga 31 Disember 2026.
Sementara itu menerusi satu kenyataan berasingan, BNM berkata ia menerima sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak untuk mengemukakan permohonan bagi lesen DITO dalam hanya tempoh tiga bulan sejak permulaan tempoh permohonan pada 2 Januari 2025.
“Dengan DITO, BNM berharap dapat mengukuhkan lagi sistem kewangan dengan tawaran yang lebih inklusif, berdaya saing dan cekap, selaras dengan keperluan pengguna yang semakin berkembang,” kata Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
BNM berkata semua pemohon yang berminat perlu mendapatkan sesi perbincangan dengan menghantar e-mel kepada DITF@bnm.gov.my sebelum mengemukakan permohonan rasmi dan pemohon juga perlu memenuhi kriteria yang digariskan dalam dokumen dasar rangka kerja pelesenan dan pengawalseliaan DITO.
-- BERNAMA