EKONOMI

Permohonan Lesen Penanggung Insurans Dan Pengedali Takaful Digital Dibuka Sehingga 31 Dis, 2026 - BNM

10/03/2025 05:14 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Permohonan bagi lesen penanggung insurans dan pengendali takaful digital (DITO) akan dibuka sehingga 31 Disember 2026, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat dalam satu kenyataan hari ini berkata permohonan yang berjaya akan diumumkan semasa atau selepas tempoh permohonan tersebut.

Menurut BNM, permohonan lesen DITO itu menerima sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai pihak hanya tiga bulan sejak permulaan tempoh permohonan pada 2 Januari, 2025.

“Sambutan positif ini mencerminkan keyakinan yang utuh untuk memperluas inovasi industri insurans serta takaful dan sesi perbincangan dengan pemohon yang berminat sedang dijalankan,” katanya.

Semua pemohon yang berminat perlu melakukan perbincangan dengan BNM sebelum mengemukakan permohonan rasmi dengan menghantar e-mel kepada DITF@bnm.gov.my dan mereka juga perlu memenuhi kriteria yang digariskan dalam Dokumen Dasar Rangka Kerja Pelesenan dan Pengawalseliaan bagi DITO.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata dengan DITO, BNM berharap dapat mengukuhkan lagi sistem kewangan dengan tawaran yang lebih inklusif, berdaya saing dan cekap, selaras dengan keperluan pengguna yang semakin berkembang.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400828