KUANTAN, 8 Mac (Bernama) -- Seorang guru wanita mengalami kerugian RM226,400 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan menerusi panggilan telefon (phone scam) November lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata ia bermula apabila wanita berumur 38 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seseorang yang mengaku sebagai pegawai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NSRC), mendakwa kononnya wanita itu terlibat dalam sindiket penipuan.
Beliau berkata panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang mengaku sebagai pegawai polis, dan wanita itu diarahkan membuat pemindahan wang, kononnya bagi tujuan siasatan Bank Negara Malaysia.
“Dalam tempoh 4 Dis hingga 16 Dis lepas, wanita itu telah membuat 21 transaksi pemindahan wang ke tiga akaun berbeza sehingga dia mengalami kerugian sebanyak RM226,400. Ia merupakan wang simpanan wanita itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
-- BERNAMA