AM

EDUZONE: Pautan Mudah Sediakan Poster Senarai Pelepasan Cukai 2024 

11/03/2025 03:50 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Pembayar cukai kini boleh merujuk pautan EDUZONE Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mendapatkan senarai pelepasan cukai pendapatan untuk e-Filing, yang dipaparkan dalam bentuk poster ringkas dan mudah difahami.

Ketua Penolong Pengarah LHDN Selangor Mohd Fairuz Mhd Omar berkata maklumat tersebut boleh diakses melalui portal rasmi LHDN di https://www.hasil.gov.my menerusi pautan Eduzone > Slaid Percukaian > Poster.

“Pengguna hanya perlu memilih ruangan Eduzone dan menekan pautan poster disediakan (https://www.hasil.gov.my/eduzone/slaid-poster-percukaian/), yang memberikan panduan jelas dan mudah untuk pembayar cukai individu pemastautin,” katanya ketika menjadi tetamu program Klinik Cukai bertajuk ‘Tujuh Perkara Perlu Tahu Tentang e-Filing’ di Bernama Radio hari ini.

Beliau berkata Pelepasan Cukai Tahun Taksiran 2024 turut menyenaraikan beberapa pelepasan baharu antaranya rawatan pergigian di bawah perbelanjaan perubatan; yuran keahlian gimnasium dan yuran untuk latihan sukan disediakan oleh kelab/persatuan sukan serta yuran apa-apa kursus kemahiran dan peningkatan diri di bawah gaya hidup.

“Zakat fitrah juga boleh dituntut sebagai rebat cukai. Ia dibuat selepas pihak LHDN dah kira semua pelepasan cukai baharu tolak rebat tersebut. Rebat zakat ini termasuklah zakat fitrah, pendapatan zakat dan zakat emas yang hanya perlu dituntut dalam cukai taksiran tersebut,” katanya.

Mohd Fairuz turut mengingatkan pembayar cukai supaya tidak menunggu saat akhir untuk melaporkan pendapatan melalui Portal MyTax (https://mytax.hasil.gov.my) serta membuat bayaran baki cukai, jika ada, bagi mengelakkan penalti 10 peratus ke atas jumlah cukai keseluruhan.

“Bagi kategori individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan atau mempunyai pendapatan penggajian, mereka boleh menghantar borang BE atau e-BE mulai 1 Mac sehingga 30 April. Tambahan masa bagi pengemukaan borang BE atau e-BE menerusi e-Filing akan diberi sehingga 15 Mei ini.

“Bagi individu pemastautin yang menjalankan perniagaan pula, mereka perlu menghantar borang B atau e-B bermula 1 Mac 2025 hingga 30 Jun 2025. Tambahan masa juga akan diberikan bagi pengemukaan borang ini iaitu sehingga 15 Julai 2025,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa individu yang sengaja mengelak cukai atau membantu orang lain mengelak cukai boleh dikenakan denda RM1,000 hingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Malah, mereka boleh dikenakan penalti sehingga 300 peratus kadar atas cukai kurang dilaporkan di bawah Subseksyen 114(1) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967,” katanya.

Mohd Fairuz menjelaskan jika terdapat kekurangan atau ketinggalan sebarang pendapatan berikutan penemuan audit, penalti boleh dikenakan di bawah Subseksyen 113(2) ACP 1967 bersamaan dengan amaun cukai yang terkurang (100 peratus).

“Bagi maksud Rangka Kerja Audit Cukai ini, penalti di bawah Subseksyen 113(2) ACP dikenakan pada kadar 15 peratus untuk kesalahan pertama, 30 peratus untuk kesalahan kedua dan 45 peratus untuk kesalahan ketiga dan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata pembayar cukai yang layak menerima bayaran balik lebihan cukai boleh menerimanya dalam tempoh 30 hari bekerja selepas penghantaran e-Filing, seperti yang ditetapkan dalam Piagam Pelanggan HASiL.

“Namun, proses ini bergantung kepada ketepatan maklumat dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan serta dokumen sokongan jika diperlukan. Jika tiada maklum balas selepas tempoh tersebut, pembayar cukai disaran untuk menghubungi Pejabat HASiL yang mengendalikan fail cukai mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2401197