Oleh Mohd Afiq Zulkifli
PETALING JAYA, 12 Mac (Bernama) -- Bayangkan sedang menunaikan solat berjemaah dalam masjid di Malaysia, tetapi bacaan imamnya persis seperti yang didengari di Masjidil Haram.
Pengalaman itu dirasai oleh ramai jemaah apabila mendengar alunan ayat-ayat suci al-Quran daripada Mohd Shukri Ali, yang suaranya dikatakan mirip Ketua Imam Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais - suara yang dianggap antara paling indah dan menyentuh hati dalam dunia Islam.
“Secara fitrahnya suara saya memang begini. Jadi, saya tidak perlu meneran atau buat-buat meniru suara beliau. Keistimewaan ini anugerah Allah SWT,” kata yang turut dikenali sebagai “Sudais Malaysia”, ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Perkongsian beberapa video bacaan al-Quran, termasuk ketika mengimamkan solat tarawih menerusi akaun TikToknya @ustaz.shukri.ali, menarik perhatian ramai yang terkejut dan kagum dengan keunikan suara beliau.
pic-2
Mohd Shukri, 43 yang kerap menerima jemputan sebagai imam di masjid seluruh negara, mengakui meminati bacaan Sheikh Sudais sejak zaman remajanya ketika belajar di Maahad Tahfiz al-Quran Terengganu dan mengambil masa beberapa tahun untuk mempelajari cara bacaan imam Masjidil Haram itu.
Malah, kata bapa kepada empat anak itu, setiap kali Ramadan beliau sanggup tidak tidur malam demi mendengar bacaan al-Quran Sheikh Sudais yang disiarkan secara langsung dari Makkah di televisyen.
“Saya mengikuti rapat Sheikh Sudais sejak berumur 15 tahun. Saya beli kaset bacaan 30 juzuk al-Quran beliau, saya dengar cara bacaan, dari segi lenggok dan bagaimana beliau menangis ketika membaca ayat-ayat tertentu.
“Nada suara saya kebetulan sesuai, jadi saya ikut cara bacaannya. Walaupun boleh meniru lenggok imam lain seperti Sheikh Maher Al-Muaiqly dan Saad Al-Ghamidi, saya lebih selesa menggunakan gaya Sheikh Sudais ketika mengimamkan solat tarawih kerana sudah sebati dengan suara saya,” katanya yang pernah beberapa kali bertemu Sheikh Sudais secara tidak formal.
pic-3
Menceritakan lebih lanjut, anak jati Kampung Che Lijah, Dungun, Terengganu itu, berkata bekas Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad merupakan individu pertama yang menyedari suaranya mirip Sheikh Sudais pada 1999.
“Selepas menjuarai pertandingan tahfiz peringkat Terengganu dan ketika mengikuti kursus untuk mewakili peringkat kebangsaan, saya ada bertemu dengan Syaikh Ismail yang memberitahu bahawa suara saya mirip Sheikh Sudais dan beliau menasihati saya supaya mengikuti cara bacaannya,” katanya.
Menurut Mohd Shukri, bacaan al-Quran dengan cara itu memerlukan stamina yang tinggi dan menggunakan irama rast.
Keistimewaan suaranya itu juga membawa Mohd Shukri yang berkelulusan dalam bidang al-Quran dan Qiraat daripada Universiti Al-Azhar, Mesir ke beberapa negara seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Singapura dan Indonesia, bagi memenuhi undangan mengimamkan solat tarawih.
pic-4
“Sebenarnya, julukan ‘Imam Sudais Malaysia’ telah lama diberikan. Saya sendiri sudah lebih 25 tahun menjadi imam secara bebas dan guru al-Quran yang banyak mengajar kuliah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
“Namun, mutakhir ini saya mula aktif berkongsi video bacaan al-Quran di TikTok, gelaran itu kembali tular dan lebih ramai yang mengenali saya,” katanya yang kini mempunyai lebih 70,000 pengikut di platform tersebut.
Sementara itu, pensyarah kanan di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia Dr Anuar Hasin berkata berdasarkan pemerhatiannya, suara Mohd Shukri hampir 98 peratus mirip Sheikh Sudais.
“Dengan kelebihan suaranya yang mirip Sheikh Sudais, iaitu imam nombor satu Masjidil Haram yang dikenali seluruh dunia, bacaan al-Quran Mohd Shukri mengubat rindu jemaah kepada suasana di Makkah,” katanya.
-- BERNAMA