AM

PERKESO Salurkan Bayaran Faedah RM4.23 Juta Kepada 3,426 Suri Rumah

11/03/2025 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menyalurkan bayaran faedah berjumlah RM4.23 juta kepada 3,426 suri rumah dalam tempoh lebih dua tahun sejak 2022. 

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sosial Suri Rumah PERKESO Kasthuri Patto berkata perkara itu selaras dengan pendaftaran 514,105 suri rumah pada tahun lepas sekali gus mencapai sasaran lebih 100 peratus yang telah ditetapkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim. 

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 88 peratus atau 452,781 wanita merupakan penerima bantuan eKasih, sembilan peratus atau 43,901 wanita daripada caruman secara sukarela manakala tiga peratus lagi atau 17,423 wanita melalui tajaan daripada 103 agensi.

“Dengan adanya perlindungan ini, suri rumah yang sebelum ini tidak mempunyai jaringan keselamatan kewangan kini mendapat manfaat yang lebih baik dalam menangani situasi kecemasan seperti kemalangan, kehilangan pendapatan akibat kecederaan, atau penyakit serius. 

“Kejayaan program ini membuktikan kepentingan sokongan berterusan daripada kerajaan, sektor korporat, dan masyarakat dalam memperkukuh sistem perlindungan sosial negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kasthuri turut menggesa lebih ramai suri rumah mendaftar di bawah skim ini, sama ada melalui ahli keluarga mereka atau tajaan oleh syarikat di mana mereka bekerja.

Menurutnya, di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967, mana-mana syarikat yang menaja caruman secara sukarela bagi suri rumah boleh mendapat pelepasan cukai. 

Beliau berkata sehingga Dis 2024, daripada 103 agensi yang menaja, 14 agensi telah mendapat pelepasan cukai berjumlah RM587,040, dengan menaja insurans untuk 4,892 wanita.

“Pelepasan cukai ini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan syarikat tetapi juga antara usaha menggalakkan lebih banyak entiti korporat menyertai usaha ini yang pastinya memanfaatkan golongan wanita,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2401212