PETALING JAYA, 13 Mac (Bernama) -- Skuad Harimau Malaya menerima perkhabaran positif apabila tiga pemain warisan dijangka tiba minggu hadapan sebelum aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Nepal 25 Mac ini.
Perkara itu disahkan ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Peter Cklamovski yang memaklumkan proses pendaftaran pemain itu kini berada di fasa terakhir.
"Semua pemain Malaysia serta urusan pemain warisan kini berada di peringkat akhir, dan berita baik akan diumumkan minggu depan untuk beberapa pemain.
“Buat masa ini hanya tiga pemain dan selebihnya akan diumum pada Jun,” katanya dalam sidang media sempena pengumuman senarai 27 pemain yang akan menggalas tugas bagi aksi menentang Nepal.
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang menunggu lampu hijau daripada Kerajaan Malaysia untuk mendapatkan kerakyatan bagi empat pemain warisan baharu Harimau Malaya.
FAM juga dilaporkan dalam proses melengkapkan dokumentasi bagi empat pemain lain.
Aksi pertama Kelayakan Piala Asia antara Malaysia dan Nepal akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.
-- BERNAMA