DUNIA

WFP Gesa Akses Selamat Dan Gencatan Senjata Kekal Di Gaza

06/07/2025 08:13 PM

RAMALLAH, 6 Julai (Bernama-WAFA) -- Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa pembukaan segera lebih banyak laluan selamat bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk di utara, tengah dan selatan Gaza, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Dalam satu hantaran di platform X, WFP menekankan bahawa bantuan kemanusiaan mesti dibenarkan sampai kepada mereka yang memerlukan tanpa halangan atau risiko.

Agensi itu turut memperbaharui rayuannya untuk gencatan senjata kekal di Gaza, sambil memberi amaran mengenai malapetaka kemanusiaan yang semakin meruncing.

Mengulangi kebimbangan terhadap situasi semasa, WFP memaklumkan bahawa seorang daripada setiap tiga penduduk di Gaza tidak mendapat makanan selama beberapa hari, sekali gus menggambarkan tahap kebuluran dan kekurangan yang teruk dalam kalangan penduduk.

Walaupun keadaan keselamatan semakin merosot, akses yang terhad dan keadaan komuniti di Gaza yang semakin terdesak, WFP mengesahkan bahawa pihaknya terus menyalurkan bantuan makanan yang menyelamatkan nyawa di seluruh wilayah itu.

-- BERNAMA-WAFA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2441980