AM

CEAPAD V Dijadual Oktober Sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

11/07/2025 11:37 PM

Oleh Nabilah Saleh dan Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Persidangan Kerjasama antara Negara-Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Kelima (CEAPAD V) dijadual berlangsung pada Oktober, di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, menurut Kementerian Luar Jepun.

Pengumuman itu dibuat susulan kejayaan penganjuran CEAPAD IV sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan, di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.

Dipengerusikan bersama Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Luar Jepun Takeshi Iwaya dan Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa Palestin Dr Estephan Salameh, perbincangan CEAPAD IV menumpukan kepada pembinaan kapasiti, pembangunan semula infrastruktur penting di Palestin serta penyaluran bantuan kemanusiaan secara menyeluruh dan berkesan.

CEAPAD merupakan platform serantau yang dimulakan oleh Jepun pada 2013 bagi menyokong usaha pembinaan negara Palestin dengan memanfaatkan sumber, pengetahuan dan pengalaman pembangunan ekonomi negara Asia Timur.

Menerusi kenyataan kepada Bernama, Kementerian Luar Jepun menegaskan bahawa CEAPAD telah dilancarkan sebelum konflik semasa di Gaza dan bukan bertujuan mengisi kekosongan geopolitik.

“Inisiatif ini telah dimulakan oleh kerajaan Jepun pada 2013, sebelum tragedi di Gaza berlaku.

“Kami percaya penyelesaian dua negara amat penting pada ketika itu. Memandangkan negara anggota ASEAN telah berjaya dalam pembangunan ekonomi, kami berpendapat kepakaran mereka dalam pembangunan ekonomi Asia boleh digerakkan bagi menyokong usaha pembinaan negara oleh pihak berkuasa baharu ketika ini,” menurut kementerian itu.

Kementerian Luar Jepun turut menyatakan hasrat negara itu untuk bekerjasama rapat dengan ASEAN khususnya Malaysia selaku tuan rumah bersama bagi menjayakan CEAPAD akan datang.

“Kita sedang berusaha untuk bekerjasama dengan negara anggota ASEAN khususnya Malaysia yang bersedia menjadi tuan rumah bersama mesyuarat kali ini.

“Kita akan mengadakan mesyuarat kemuncak pada Oktober bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN dan kita berhasrat menggerakkan kekuatan, pengetahuan serta kepakaran anda bagi menyokong usaha pembinaan semula ini,” katanya.

Jepun juga mengulangi  komitmennya untuk bekerjasama dengan ASEAN dalam hal kemanusiaan dan keselamatan serantau.

CEAPAD IV mencatat sejarah apabila kali pertama dianjurkan di Malaysia dengan persidangan sebelum ini diadakan di Bangkok, Thailand pada 2018.

CEAPAD kini dianggotai Jepun, Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Singapura, Korea Selatan, Thailand dan Vietnam.

--  BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2444409