KUCHING, 7 Julai (Bernama) -- Daerah Sarikei bakal menjadi tumpuan peminat sukan larian dengan penganjuran Sarikei Tuanku Haji Bujang Bridge Half Marathon 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 24 Ogos ini di pekarangan Dewan Suarah.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata acara itu juga bertujuan untuk memperkenalkan Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang sebagai ikon pelancongan serta simbol kemajuan infrastruktur baharu bagi daerah tersebut.
“Melalui acara ini, masyarakat tempatan dan pengunjung bukan sahaja dapat menghayati keindahan kawasan sekitar tetapi turut menyemarakkan semangat kesukanan dan perpaduan komuniti.
“Acara ini juga simbol penyatuan komuniti melalui sukan, di samping menjadi platform memperkenalkan infrastruktur baharu yang bakal mengubah landskap Sarikei dan mampu melonjakkan nama Sarikei sebagai destinasi pelancongan sukan berpotensi tinggi,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata acara larian itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan peringkat umur dengan menyasarkan sejumlah 1,000 penyertaan melibatkan tiga kategori 21 kilometer (km), 10 km dan 5 km.
-- BERNAMA