KANGAR, 8 Julai (Bernama) -- Penubuhan Universiti Kuala Lumpur Asia Sustainable Transportation Institute (UniKL-ASTI) di Lembah Chuping di Padang Besar bakal menjadi komponen penting dalam ekosistem pembangunan logistik serantau di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sekali gus menjadikan Perlis sebagai hab logistik strategik baharu di utara tanah air.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kampus universiti yang bakal dibangunkan bersebelahan Perlis Inland Port (PIP) itu akan menawarkan pelbagai program diploma dan ijazah dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berimpak tinggi seperti teknologi penyelenggaraan kenderaan berat, pengurusan lifting equipment dan teknologi MRO.
"Saya melihat penubuhan UniKL-ASTI merupakan satu langkah strategik yang sangat bermakna bukan sahaja untuk negeri Perlis, malah untuk landskap pendidikan dan logistik negara secara keseluruhan.
"Saya yakin dengan pendekatan yang berorientasikan industri ini, ia bukan sahaja akan melahirkan graduan TVET yang kompeten dan bersedia menyertai pasaran kerja, malah turut menjadi penyumbang langsung kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah bagi projek penubuhan UniKL-ASTI itu di Dewan Warisan di sini hari ini yang disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kampus universiti yang akan dibangunkan di atas tanah seluas 60 ekar itu bakal menjadi pemangkin utama dalam memperkasakan pendidikan tinggi teknikal berasaskan pengangkutan dan logistik mapan.
Beliau percaya yang penubuhan universiti itu akan menterjemahkan komitmen utuh Kerajaan MADANI melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam memperkukuh Agenda TVET Nasional, selain memperluas akses pendidikan berimpak tinggi kepada masyarakat desa serta meletakkan Perlis sebagai sebuah negeri maju dan berdaya saing dalam sektor pengangkutan dan logistik serantau.
"Tambahan itu, infrastruktur baharu ini akan memangkin pelaksanaan projek mega PIP yang dijangka menjadi pemacu utama pergerakan kargo rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand, dengan nilai dagangan dianggarkan mencecah USD 30 bilion (RM132 bilion) menjelang 2027," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata projek penubuhan UniKL-ASTI kini berada pada fasa akhir peringkat reka dan bentuk dengan pembinaan fizikal universiti itu akan dimulakan selepas majlis pecah tanah berkenaan dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 25 Jun 2028.
"Projek ini akan dilaksanakan secara reka dan bina, dengan Jabatan Kerja Raya Malaysia bertindak sebagai agensi pelaksana, manakala MARA di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebagai agensi pelanggan.
"Besarlah harapan kami di KKDW supaya projek ini dapat diserahkan kepada pihak MARA dengan jayanya mengikut masa, kos dan reka bentuk yang efisien. Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, projek ini akan memberi nilai tambah yang tinggi terhadap pembangunan negeri Perlis secara khususnya," katanya.
-- BERNAMA