AM

Tragedi Sungai Korok Imbau Kisah Duka Kehilangan Abang

08/07/2025 04:15 PM

ALOR SETAR, 8 Julai (Bernama) -- Kehilangan insan tersayang secara tiba-tiba sememangnya ujian berat dan bagi Ramsuriani Ramli, tragedi di Sungai Korok, Jitra yang meragut nyawa enam sekeluarga semalam mengimbau kembali kisah dukanya.

Ramsuriani, 43, berkata beliau tidak dapat melupakan insiden abangnya Ramsunardi, 42, yang ditemukan maut selepas kereta dipandunya terjunam ke sungai di Kampung Alor Biak, Jalan Sungai Korok, dekat Jitra pada 2016.

“Bagi saya bukan salah pemandu semata-mata. Jalan itu memang tak berapa elok dan tiada ciri-ciri keselamatan yang mampu memberi keyakinan kepada pengguna.

“Kereta abang terbabas ke dalam sungai semasa dia memandu seorang diri. Saya hilang satu-satunya abang yang menjadi tonggak kekuatan keluarga selepas ayah meninggal dunia,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sehubungan itu, wanita yang berasal dari Tambun Tulang, Perlis, berkata sudah tiba masanya untuk pihak berkaitan mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan tragedi pilu seperti itu berulang.

“Sepatutnya kena sediakan lampu jalan mencukupi dan buat penghadang jalan yang kukuh di sepanjang tebing sungai bagi mengurangkan risiko lemas bila berlaku kemalangan,” katanya.

Semalam, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan isteri Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta anak mereka, Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, 6 bulan, ditemukan maut dalam kereta di dalam Sungai Korok.

Seorang penjawat awam, Muhamad Sofi Shamsudin, 34, dari Ayer Hitam, Jerlun, berkata selain ketiadaan penghadang jalan, laluan di Sungai Korok agak sempit serta mempunyai banyak lubang dan beralun.

“Sebagai pengguna utama, saya berharap sangat kerajaan dapat membaiki serta meningkatkan tahap keselamatan kerana jalan itu juga banyak digunakan kenderaan berat seperti lori dan treler,” katanya.

Muhamad Sofi berkata jalan tersebut sememangnya penting bagi penduduk setempat kerana merupakan laluan utama ke Jitra dan Alor Setar.

“Memang sudah banyak kemalangan berlaku sebelum ini. Ayah kawan saya pernah kemalangan disebabkan jalan tar berlubang sehingga dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU),” katanya. 

Sementara itu, Osman Saad, 44, dari Ayer Hitam juga senada dan sangat berharap agar kerajaan dapat bertindak segera memasang besi penghadang di tebing sungai serta menyediakan lampu jalan.

“Jalan itu panjang, jadi kena ada ciri keselamatan agar kami berasa lebih selamat. Selepas kes enam beranak itu, hati saya berdebar-debar dan berasa seram apabila melalui jalan tersebut.

"Saya jadi tak tenteram tambah lagi bila malam. Risau dengan keselamatan diri dan ahli keluarga yang memang menggunakan jalan itu sebagai jalan utama setiap masa,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2442703