KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- “Tekanan mencipta kecemerlangan”, itulah reaksi spontan penyerang muda negara, Fergus Tierney, ketika ditanya bagaimana beliau menghadapi tekanan menjelang Kejohanan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2025 yang bakal berlangsung di Jakarta dari 15 hingga 29 Julai ini.
Tierney, yang pernah mewakili skuad senior negara, yakin skuad muda negara berada di landasan positif di bawah bimbingan ketua jurulatih Nafuzi Zain, dengan hanya tinggal seminggu sebelum sepak mula kejohanan.
“Saya rasa kem latihan bersama jurulatih Nafuzi berjalan dengan baik. Kami belajar banyak perkara setiap hari. Masih ada seminggu sebelum kejohanan bermula, jadi masih banyak yang perlu kami perbaiki.
“Kami mahu menang setiap perlawanan. Kami tidak kisah siapa lawan kami. Kami ke sana untuk menang semua perlawanan. Itu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas meledak dua gol membantu skuad B-23 Malaysia menewaskan Melaka FC 4-1 dalam aksi pemanas badan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Dua lagi gol disumbangkan oleh Aliff Izwan Yuslan dan Muhammad Faris Danish Mohd Asrul.
Sementara itu, Nafuzi berkata tahap kecergasan pemain kekal menjadi keutamaan ketika ini, sambil menyifatkan skuad kendaliannya menunjukkan peningkatan dari segi kepantasan dan pergerakan.
“Kami tahu cabaran sebenar nanti jauh lebih mencabar. Kami juga sedar Melaka masih di fasa pra-musim dan baru memulakan persiapan.
“Yang paling penting sekarang ialah memastikan pemain cepat faham falsafah permainan yang kami mahukan. Itu kuncinya,” jelas beliau.
Sebelum ini, Nafuzi menyasarkan untuk membawa Malaysia ke peringkat separuh akhir, sebagai langkah penting membuka peluang mara ke pentas final.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A dan akan membuka kempen menentang Filipina pada 15 Julai, diikuti pertemuan dengan Brunei (18 Julai), sebelum menutup aksi kumpulan menentang tuan rumah, Indonesia pada 21 Julai.
Dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir pada 25 Julai, manakala aksi penentuan tempat ketiga dan perlawanan akhir dijadualkan berlangsung pada 29 Julai.
-- BERNAMA