KUANTAN, 9 Julai (Bernama) -- Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dikhuatiri lemas ketika memancing di Sungai Kuantan berhampiran Jalan Indera Mahkota 15/7, Bandar Indera Mahkota di sini, petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata mangsa, Mohamad Isyraf Danish Razmi dipercayai turun ke gigi air untuk menarik tali pancing yang tersekat sebelum hilang daripada pandangan tiga rakannya.
Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 7.30 malam sebelum mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) telah ditubuhkan di lokasi dan operasi SAR kini sedang giat dijalankan. Operasi membabitkan seorang pegawai dan 10 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan serta dua pegawai dan lapan anggota JBPM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Adli turut menasihatkan orang awam agar tidak menghampiri lokasi kejadian bagi menjamin keselamatan dan kelancaran operasi SAR.
-- BERNAMA