Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 9 Julai (Bernama) -- Indonesia dan Papua New Guinea (PNG) memperbaharui komitmen untuk memperkukuh hubungan pertahanan berkecuali serta bersetuju untuk mempercepat pelaksanaan perjanjian pertahanan yang telah ditandatangani sebelum ini melalui penubuhan kumpulan kerja bersama.
Komitmen yang diperbaharui itu digariskan semasa mesyuarat dua hala antara Menteri Pertahanan Indonesia Sjafrie Sjamsoeddin dan rakan sejawatannya dari PNG Dr Billy Joseph di Port Moresby pada Isnin.
Kedua-dua pihak berikrar untuk memperkukuh kerjasama dalam latihan dan pendidikan ketenteraan, meningkatkan penyelarasan operasi di sepanjang sempadan serta meneroka usaha bersama dalam penyelenggaraan pesawat tentera bagi menyokong kesiapsiagaan operasi.
“Komitmen kami berlandaskan sikap saling menghormati dan perpaduan rentas sempadan,” kata Sjafrie dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan.
Dalam perbincangan itu, PNG mencadangkan kelas bahasa Indonesia untuk anggota tentera yang disambut baik oleh Indonesia bagi meningkatkan komunikasi dan saling kebolehoperasian.
Kedua-dua menteri turut menyokong rancangan untuk membuka laluan udara terus antara Port Moresby dan Merauke di timur Indonesia serta mengakui keselamatan makanan sebagai isu strategik yang memerlukan perhatian bersama.
Sjamsoeddin turut menyampaikan hasrat Jakarta untuk mengatur lawatan rasmi Presiden Prabowo Subianto ke PNG pada September tahun ini sebagai manifestasi komitmen tinggi Indonesia dalam memperkukuh hubungan dua hala.
-- BERNAMA