SHAH ALAM, 9 Julai (Bernama) -- Kira-kira 5,000 pengunjung dijangka memeriahkan Festival Kebudayaan Orang Asli sempena sambutan Hari Orang Asal Sedunia Selangor 2025 yang akan berlangsung pada 9 Ogos depan.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri V. Papparaidu berkata festival yang akan diadakan di Kampung Orang Asli Kelinsing, Sepang itu bertujuan mengiktiraf serta meraikan kepelbagaian budaya dan adat resam masyarakat Orang Asli.
Beliau berkata penganjuran festival itu merupakan manifestasi komitmen kerajaan negeri dalam memastikan komuniti Orang Asli terus diperkasa dari aspek budaya, pendidikan, ekonomi dan sosial.
“Antara objektif utama festival ini adalah menyemarakkan jati diri dan warisan budaya pelbagai etnik Orang Asli seperti Temuan, Mah Meri dan Semai, selain mempromosikan kampung Orang Asli sebagai destinasi pelancongan berasaskan budaya dan alam semula jadi di Selangor.
“Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap hak, sejarah dan cabaran yang dihadapi masyarakat Orang Asli serta menyediakan ruang untuk pemerkasaan dalam bidang seni, kraftangan, makanan tradisional dan keusahawanan,” katanya pada sidang media di Lobi Wisma Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Papparaidu berkata berdasarkan statistik terdapat lebih 20,000 masyarakat Orang Asli di Selangor melibatkan 74 kampung di tujuh daerah, dengan masing-masing masih mengekalkan budaya tersendiri seperti tarian Sewang, Jo’oh, seni ukiran Mah Meri dan pelbagai ritual leluhur yang kaya dengan nilai murni.
“Komuniti Orang Asli di Selangor juga telah mencatat pelbagai kejayaan dalam bidang pendidikan, seni dan advokasi, termasuk pengiktirafan antarabangsa terhadap komuniti Mah Meri di Pulau Carey, di Kuala Langat,” katanya.
-- BERNAMA