JENAYAH & MAHKAMAH

Pengurus Syarikat Kargo Rugi RM693,000 Terperdaya Pelaburan Dalam Talian

09/07/2025 07:48 PM

GEORGE TOWN, 8 Julai (Bernama) -- Seorang pengurus sebuah syarikat kargo kerugian RM693,000 selepas terperdaya dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan keuntungan lumayan baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata lelaki berusia 70 tahun itu melihat iklan pelaburan melalui aplikasi Facebook pada Mac lepas dan menekan pautan yang diberikan sebelum berhubung dengan suspek wanita melalui aplikasi WhatsApp.

"Mangsa telah dijanjikan pulangan keuntungan sebanyak 100 peratus dalam tempoh 48 jam dan bermula 4 Jun hingga 3 Julai, lelaki itu membuat 12 transaksi pembayaran ke lima akaun bank berbeza," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata warga emas itu hanya menyedari menjadi mangsa sindiket penipuan apabila tidak menerima keuntungan yang dijanjikan malah suspek memintanya membuat bayaran tambahan bagi membuat pengeluaran.

Mohd Alwi berkata mangsa kemudian tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, dekat sini semalam dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2443288